Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Larangan media sosial terhadap kanak-kanak tidak mencukupi, platform perlu berubah – Pakar
  • NASIONAL

Larangan media sosial terhadap kanak-kanak tidak mencukupi, platform perlu berubah – Pakar

Utusan Sarawak 9 hours ago
Foto hiasan.

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu melihat melangkaui pelaksanaan larangan media sosial terhadap kanak-kanak, sebaliknya memastikan platform digital dipertanggungjawabkan melalui pembaharuan model perniagaan, algoritma dan ciri reka bentuk mereka bagi mewujudkan persekitaran dalam talian yang lebih selamat untuk pengguna muda.

Penyelidik Kanan Program Polisi Teknologi di Pusat Analisis Dasar Eropah (CEPA) Dr Anda Bologa berkata, sekatan berasaskan umur sahaja tidak akan menghapuskan kemudaratan dalam talian sekiranya seni bina asas platform media sosial kekal tidak berubah.

“Masalah yang saya lihat dengan larangan ini ialah ia tidak mencabar model perniagaan dan seni bina sedia ada syarikat media sosial. Sebaliknya, ia hanya membina pagar untuk mengehadkan akses kanak-kanak kepada platform itu,” katanya.

Bercakap menerusi rakaman video dalam program Bernama World terbitan Bernama TV bertajuk ‘Desakan Global ke Arah Larangan Media Sosial bagi Kanak-Kanak’ hari ini, beliau berkata kerajaan sepatutnya menumpukan usaha menjadikan ruang digital lebih selamat untuk semua pengguna dengan menangani ciri platform yang memudaratkan seperti penatalan tanpa henti, reka bentuk yang menyebabkan ketagihan dan cadangan kandungan yang dipacu algoritma.

Beliau berkata, sekatan juga mungkin sukar dikuatkuasakan kerana kanak-kanak sering berupaya mencari jalan untuk mengatasinya.

“Kanak-kanak sangat inventif. Mereka boleh melepasi pagar yang cuba dibina kerajaan dan mengakses media sosial melalui pelbagai cara lain, sama ada menerusi kaedah teknikal atau menggunakan akaun adik-beradik yang lebih tua atau ibu bapa mereka, atau sekadar melayari tanpa akaun, yang akhirnya tidak membantu memastikan mereka selamat dan dilindungi,” katanya.

Bologa ketika mengulas mengenai pengesahan umur berkata pendekatan itu boleh mewujudkan risiko terhadap privasi dan keselamatan kerana platform atau penyedia pihak ketiga perlu mengesahkan identiti pengguna sebelum menentukan sama ada mereka di bawah umur.

“Antara masalah yang saya lihat ialah untuk menguatkuasakan langkah ini, anda perlu memantau semua orang. Untuk mengenal pasti seorang kanak-kanak yang mengakses perkhidmatan anda, anda perlu menyemak semua orang yang mengaksesnya,” katanya.

Beliau berkata, langkah teknikal yang diperlukan untuk mengesahkan umur pengguna adalah rumit, sering gagal dan boleh memberikan kawalan yang besar kepada platform media sosial atau penyedia pihak ketiga yang dipertanggungjawabkan untuk mengumpul serta melindungi data peribadi pengguna.

Bologa turut mengingatkan bahawa mengehadkan akses kanak-kanak kepada media sosial boleh membawa kesan yang tidak diingini, khususnya kepada mereka yang tinggal di kawasan pedalaman atau yang bergantung pada platform dalam talian untuk membina hubungan sosial dengan rakan sebaya.

Malaysia mula menguatkuasakan keperluan pengesahan umur bagi pendaftaran akaun media sosial pada 1 Jun di bawah Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC), yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerusi Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA).

Di bawah peraturan itu, individu berumur bawah 16 tahun tidak dibenarkan membuka akaun media sosial manakala pengguna dikehendaki mengesahkan identiti mereka menggunakan dokumen rasmi seperti MyKad, pasport atau MyDigital ID. – Bernama 

Continue Reading

Previous: BUDI Diesel tawar kuota asas 200 liter, pemilik pikap dan jip boleh mohon tambahan 100 liter
Next: Penurunan harga diesel dijangka kurangkan kos logistik, turunkan harga barangan – Pakar

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.