Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Laporan video cemar imej TH dikemukakan kepada MCMC, Polis – Mohd Na’im
  • NASIONAL

Laporan video cemar imej TH dikemukakan kepada MCMC, Polis – Mohd Na’im

Utusan Sarawak 14 hours ago
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar pada Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat Parlimen ke-15 Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Aduan serta laporan terhadap kandungan video yang cuba mencemarkan imej Lembaga Tabung Haji (TH) di media sosial telah dikemukakan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata beliau maklum terdapat beberapa video berlegar di media sosial yang mengajak umat Islam di negara ini untuk keluar daripada menyimpan wang di TH.

“Hasutan ini tidak memberi manfaat atau kebaikan kepada usaha kita dalam mempertahankan TH, maka kerajaan sedang teliti dan tindakan juga telah diambil, contoh aduan ataupun laporan telah dikemukakan kepada MCMC.

“Laporan polis juga telah dibuat ke atas beberapa video yang kita dapati menjurus ke arah hasutan tersebut dan perkara ini kita serah kepada pihak berwajib untuk melaksanakan atau menjalankan siasatan secara adil,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) yang bertanyakan mengenai usaha kerajaan mengekang cubaan pembinaan naratif serta dakwaan jahat terhadap TH di pelbagai platform media sosial.

Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata TH bersama pelbagai agensi Islam seperti TV Al-Hijrah dan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) akan terus mengadakan kempen bagi memperjelas secara terperinci isu yang dibangkitkan melibatkan institusi tersebut.

“Bagaimanapun, diharapkan supaya kita semua dapat bekerjasama untuk membantu mempertahankan imej institusi TH yang kita sayangi ini,” katanya.

Mengenai konsortium dilantik untuk projek penjenamaan TH, beliau berkata melalui proses rundingan terus yang ketat, TH memilih gabungan syarikat perunding yang memiliki kepakaran berbeza berdasarkan keperluan khusus bagi menyusun semula strategi untuk memberi nafas baharu kepada institusi berkenaan.

“Rundingan terus merupakan kaedah perolehan dibenarkan dalam keperluan tertentu terutamanya bagi perkhidmatan strategik yang memerlukan kepakaran khusus seperti khidmat perundingan strategik, tinjauan dan kajian pasaran dan lain-lain perkhidmatan yang tidak dapat diperoleh melalui proses tender biasa,” katanya.

Beliau berkata pemilihan itu melalui proses tadbir urus yang ketat merangkumi penilaian kepakaran teknikal dan komersial yang menyeluruh, rundingan harga serta kelulusan jawatankuasa tender dan Lembaga Pengarah TH bagi memastikan ketelusan, akauntabiliti serta nilai terbaik kepada organisasi.

Dalam masa sama, Mohd Na’im berkata beliau meletakkan sepenuh kepercayaan kepada kepimpinan Pengerusi TH Tan Sri Rashid Hussain dalam urusan pelaksanaan penjenamaan semula TH.

“Saya mendapati penjelasan berkaitan rundingan terus TH kepada syarikat terbabit mempunyai kewajaran dan justifikasi yang munasabah. Syarikat yang dilantik juga tidak terlibat dalam perkara dan urusan dasar TH kerana strategi dan keputusan akhir adalah terletak kepada kepimpinan TH,” katanya.

Menjawab soalan asal Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) yang ingin tahu sama ada amalan perolehan secara rundingan terus masih diamalkan TH, Mohd Na’im berkata kebanyakan perolehan dilakukan institusi kewangan Islam itu adalah melalui proses tender.

“Pada 2012, TH telah menerima kelulusan daripada Kementerian Kewangan untuk dikecualikan daripada proses perolehan kerajaan dan kuasa melantik itu diberikan sepenuhnya kepada Ahli Lembaga Pengarah,” katanya.– Bernama

T

Continue Reading

Previous: Sarawak eksport varieti nanas SG-1 ke China, Singapura mulai 2026
Next: Penghargaan SARA: 22 juta pemegang MyKad boleh semak kelayakan bermula hari ini

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.