

PETRA JAYA: Laporan berita yang bersifat provokatif dan tidak beretika perlu dikenakan tindakan tegas, khususnya apabila ia menyentuh serta menafikan kepentingan dan hak Sarawak serta Sabah.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, amalan pelaporan sedemikian bukan sahaja mencemarkan profesion kewartawanan, malah berpotensi mencetuskan salah faham dalam kalangan rakyat.
Beliau berkata demikian ketika mengulas pelaporan sebuah portal media sosial dikenali sebagai Berita 757, yang menurutnya gagal mematuhi prinsip asas kewartawanan apabila sering bersandar kepada sumber tidak dinamakan seperti ‘pakar politik’ dan ‘pemerhati’ tanpa penjelasan jelas mengenai sumber atau konteks sebenar maklumat.
Menurut beliau, pendekatan tersebut membuka ruang kepada tafsiran mengelirukan serta analisis berat sebelah yang tidak membantu kefahaman awam.
“Nada laporan yang menggambarkan seolah-olah Sarawak dan Sabah bersikap rakus atau sombong sebenarnya mencerminkan sikap pihak yang menulisnya sendiri.
“Hakikatnya, sejak sekian lama Sarawak dan Sabah mengamalkan pendekatan toleransi, rundingan dan diplomasi dalam mengurus dasar serta hubungan politik,” katanya.
Abdullah berkata, meskipun terdapat provokasi yang dilihat semakin melampau kebelakangan ini, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah menasihatkan agar perkara tersebut tidak dilayan secara emosional, sebaliknya ditangani melalui perbincangan dan saluran diplomatik.
Beliau turut mengingatkan bahawa pelaporan bersifat provokatif, khususnya berkaitan isu sensitif seperti tuntutan sumber gas dan perkara perundangan, boleh mengelirukan rakyat yang tidak memahami konteks sebenar hubungan antara Kerajaan Persekutuan dengan Sarawak dan Sabah.
“Tidak semua orang memahami latar belakang sebenar isu ini. Andaian yang tidak bertanggungjawab hanya akan menimbulkan keresahan rakyat,” katanya.
Beliau berkata keadaan sedemikian tidak membantu usaha mengekalkan hubungan harmoni antara Kerajaan Persekutuan dengan Sarawak dan Sabah, malah boleh menjejaskan kestabilan serta kepercayaan awam.