Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • GLOBAL
  • Lapisan ozon semakin pulih, dijangka pulih sepenuhnya menjelang pertengahan abad ini
  • GLOBAL

Lapisan ozon semakin pulih, dijangka pulih sepenuhnya menjelang pertengahan abad ini

Utusan Sarawak 8 hours ago
GAMBAR fail ini yang dikeluarkan pada 1 Disember 2009 menunjukkan gabungan dua imej dikeluarkan oleh Balai Cerap Bumi NASA, memaparkan saiz dan bentuk lubang ozon bagi setiap tahun pada 1979 (kiri) dan 2009. Foto AFP

GENEVA: Lapisan ozon yang melindungi Bumi kini menunjukkan tanda-tanda pemulihan dan lubang ozon dijangka akan lenyap sepenuhnya dalam beberapa dekad akan datang, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini. PBB turut memuji kejayaan usaha antarabangsa yang dilaksanakan secara bersama.

Laporan terbaharu Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO) PBB menekankan bahawa lubang ozon di atas Antartika adalah lebih kecil pada 2024 berbanding beberapa tahun kebelakangan ini, yang disifatkan sebagai “berita saintifik yang menggalakkan untuk kesihatan manusia dan planet ini.”

“Pada hari ini, lapisan ozon sedang pulih,” kata Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres dalam satu kenyataan.

“Pencapaian ini mengingatkan kita bahawa apabila negara-negara mengendahkan amaran sains, kemajuan boleh dicapai.”

WMO dalam Buletin Ozon 2024 menjelaskan bahawa pengurangan penipisan ozon “sebahagiannya disebabkan oleh faktor atmosfera semula jadi yang mempengaruhi turun naik tahunan”.

SETIAUSAHA Agung PBB, Antonio Guterres.

Namun begitu, WMO menegaskan bahawa trend positif jangka panjang yang diperhatikan “mencerminkan kejayaan tindakan antarabangsa yang terselaras”.

Buletin tersebut diterbitkan sempena sambutan Hari Ozon Sedunia dan ulang tahun ke-40 Konvensyen Vienna, yang pertama kali mengiktiraf penipisan ozon stratosfera sebagai isu global.

Konvensyen 1975 itu kemudiannya disusuli oleh Protokol Montreal yang ditandatangani pada 1987, yang bertujuan menghapuskan penggunaan bahan-bahan yang menipiskan ozon terutamanya yang digunakan dalam sistem penyejukan, penyaman udara dan semburan aerosol.

Setakat ini, perjanjian tersebut telah berjaya menghentikan lebih 99 peratus pengeluaran dan penggunaan bahan terkawal yang menipiskan ozon, menurut WMO.

“Hasilnya, lapisan ozon kini berada di landasan yang tepat untuk pulih ke tahap 1980-an menjelang pertengahan abad ini, sekali gus mengurangkan risiko kanser kulit, katarak, dan kerosakan ekosistem akibat pendedahan sinaran UV yang berlebihan,” jelasnya.

Buletin itu turut melaporkan bahawa kedalaman lubang ozon, yang muncul setiap musim bunga di Antartika, mencatatkan defisit jisim ozon maksimum sebanyak 46.1 juta tan pada 29 September tahun lalu iaitu lebih rendah daripada purata bagi tempoh 1990 hingga 2020.

WMO juga menyorot permulaan penipisan ozon yang lebih perlahan, dengan kelewatan penipisan sepanjang bulan September, diikuti pemulihan yang lebih cepat selepas defisit maksimum dicapai.

“Permulaan yang lewat secara konsisten ini dikenal pasti sebagai petunjuk kukuh kepada pemulihan awal lubang ozon di Antartika,” menurut buletin itu.

WMO dan Program Alam Sekitar PBB (UNEP) bersama-sama menaja penilaian saintifik mengenai penipisan ozon setiap empat tahun.

Penilaian terkini pada 2022 menunjukkan bahawa, sekiranya dasar sedia ada dikekalkan, lapisan ozon dijangka akan pulih ke tahap 1980 iaitu sebelum kemunculan lubang ozon menjelang sekitar 2066 di Antartika, 2045 di Artik, dan 2040 di seluruh dunia. – AFP

Tags: Global

Continue Reading

Previous: Prabowo catur semula pentadbiran, batal dasar menimbulkan kemarahan rakyat
Next: Periuk gergasi nasi jollof Nigeria cipta rekod dunia Guinness

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.