


PARIS: Kebakaran hutan yang merebak dengan pantas akibat dibadai angin sekencang 70 kilometer sejam memaksa Lapangan Terbang Marseille Provence di selatan Perancis ditutup dan semua penerbangan digantung, menurut pihak berkuasa tempatan pada Selasa, lapor Xinhua.
Menurut perkhidmatan bomba, kebakaran bermula berhampiran kawasan Les Pennes Mirabeau, di utara Marseille dan kini menjejaskan kira-kira 30 hektar tanah. Seramai 168 anggota bomba, bersama 68 jentera bomba dan dua helikopter, dikerahkan untuk mengawal kebakaran.
Pihak berkuasa wilayah Provence-Alpes-Cote d’Azur mengeluarkan arahan keselamatan kecemasan di platform media sosial X (Twitter), menggesa penduduk untuk kekal berada di dalam rumah, menutup tingkap dan pintu, memastikan laluan kecemasan tidak dihalang dan mengelakkan perjalanan yang tidak perlu di kawasan terjejas.
Operasi penerbangan di Lapangan Terbang Marseille digantung sekitar tengah hari dan banyak penerbangan dialihkan ke lapangan terbang lain di rantau itu. Setakat ini, tiada garis masa diberikan untuk pembukaan semula lapangan terbang itu.
Sementara itu, di kawasan berhampiran Narbonne di barat daya Perancis, satu lagi kebakaran besar memusnahkan sekitar 2,000 hektar tanah sejak Isnin.– Bernama-Xinhua