KUCHING: Tiga lokasi sedang dikaji untuk dikenal pasti sebagai lokasi terbaik bagi tujuan pembinaan lapangan terbang antarabangsa Kuching yang baharu, kata Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan berkata, penyelidikan teliti perlu dilakukan sebelum memuktamadkan lokasi sebenar tapak lapangan terbang tersebut, yang sebelum ini dikatakan akan dibina di kawasan Parlimen Santubong.
Katanya, antara lokasi yang sedang dilihat kini adalah di kawasan sekitar Kuching , kawasan Trombol (berdekatan Kuching) dan Beliong (Asajaya).
“Pengumuman akan dibuat oleh Premier berkenaan dengan lokasi lapangan terbang tersebut, berapa kosnya dan sebagainya.
“Pada masa ini masih lagi dalam peringkat awal apabila semuanya sudah selesai, kajian dan sebagainya barulah akan diumumkan.
“Saya rasa walaupun saya sedikit sebanyak tahu, saya rasa, biarlah Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sendiri yang mengumumkannya, “katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Acara ‘What About Kuching (WAK), Call Of The Tribes’ di The Old Courthouse, di sini, hari ini.
Sebelum ini, Abang Johari dilaporkan sebagai berkata bahawa Sarawak mahu membina lapangan terbang antarabangsa baharu yang mampu menampung 15 juta penumpang dan direka berasaskan model lapangan terbang Doha.
Pembinaannya dijangka mengambil masa tiga hingga lima tahun, tetapi tidak menyatakan lokasi dicadangkan.
Dalam pada itu, mengulas mengenai penemuan sebuah pesawat Jepun yang terhempas ketika zaman Perang Dunia ke-2 di kawasan Kapit, Abdul Karim berkata kementerian bersama Jabatan Muzium Sarawak akan melihat kebarangkalian menjadikannya salah satu barang bersejarah.
“Saya baharu dimaklumkan bahawa ada penemuan pesawat di kawasan sempadan Sarawak dengan Sabah dalam satu kamlung di sana, dan ia masih dalam keadaan baik.
“Jadi saya akan maklumkan kepada Jabatan Muzium Sarawak untuk membuat penyelidikan berkenaan pesawat ini sekiranya pesawat ini boleh dijadikan barangan bersejarah,”katanya.
Mengulas lanjut, katanya, ada satu lagi pesawat dijumpai, iaitu di dalam salah satu kampung di Lawas, yang merupakan pesawat milik Amerika Syarikat.
Bagaimanapun katanya, belum ada apa-apa penyelidikan lanjut dilakukan terhadap pesawat tersebut.
“Sebenarnya ada dua, satu dekat sempadan, satu lagi dalam satu di kampung di Lawas.
“Yang ini adalah sebuah pesawat Amerika, kalau tak silap saya, dan juga kapal terbang perang yang kemungkinan jatuh juga pada masa itu (perang dunia ke-2) di Lawas.
“Pada masa ini belum lagi (ada kajian) tetapi kita akan lihat saya dan tunggu laporan dan juga maklum balas dari jabatan museum,” jelasnya.
Oleh SHAHRUL QAIZAT