
SIBU: Satu deretan lapan unit kedai di Jalan Pahlawan, di sini telah dilaporkan runtuh awal pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada 2.46 pagi.
“Komander operasi memaklumkan hasil pemeriksaan bersama pihak polis mendapati runtuhan melibatkan satu deretan lapan unit kedai,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, operasi mengesan mangsa turut dijalankan bagi memastikan tiada individu terperangkap dalam runtuhan tersebut.
Pihak polis menghubungi setiap pemilik kedai untuk memastikan tiada mangsa terlibat selain menjalankan pemeriksaan permukaan (surface searching) di lokasi.
“Kejadian tidak melibatkan sebarang mangsa dan operasi ditamatkan pada 3.50 pagi. Punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” ujarnya.
Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu, Clarence Ting turut hadir meninjau ke lokasi bangunan runtuh berkenaan pagi ini.
Oleh Akun Giman