
KUCHING: Sebanyak lapan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) masih aktif di lima negeri di seluruh negara setakat 4.30 petang tadi susulan bencana Monsun Timur Laut yang melanda beberapa kawasan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, keadaan itu melibatkan seramai 219 mangsa daripada 93 keluarga yang dipindahkan ke PPS bagi tujuan keselamatan dan kebajikan.
Menurut beliau, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah melaksanakan tindakan segera termasuk pembukaan PPS, pendaftaran mangsa secara kendiri melalui sistem MyIBJKM serta pengagihan bantuan keperluan asas kepada mangsa terlibat.
“Kita telah melaksanakan pembukaan PPS, pendaftaran mangsa secara kendiri melalui sistem MyIBJKM yang baru dilancarkan serta pengagihan bantuan keperluan asas. Bekalan bantuan dilaporkan mencukupi bagi menampung keperluan mangsa di PPS,” katanya.
Mengulas amaran cuaca yang dikeluarkan MetMalaysia dan dijangka berterusan sehingga Khamis depan serta berpotensi meningkat, Nancy memberi jaminan bahawa tahap kesiapsiagaan berada dalam keadaan terkawal dengan semua agensi berkaitan telah diarahkan dalam keadaan siap siaga.
Beliau berkata, kehadiran agensi kerajaan di setiap daerah memudahkan tindakan bantuan dan pengurusan kebajikan mangsa dilaksanakan dengan lebih berkesan sekiranya keadaan cuaca bertambah buruk.
Oleh Shahrul Qaizat