
KUCHING: Seramai lapan individu ditahan selepas didapati positif dadah dalam satu operasi pemeriksaan pusat hiburan yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching di kawasan Padungan, di sini, semalam.
Dalam operasi tersebut, sepasukan pegawai dan anggota polis telah membuat serbuan serta pemeriksaan terhadap sebuah premis hiburan bagi membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah.
Seramai 21 individu terdiri daripada lelaki dan wanita telah diperiksa sepanjang operasi berkenaan.
Hasil ujian saringan awal yang dijalankan terhadap pengunjung premis tersebut mendapati lapan individu positif dadah sebelum ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memasukkan dadah ke dalam badan.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman denda atau penjara atau kedua-duanya sekali mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
Pihak polis memaklumkan bahawa pemantauan dan tindakan penguatkuasaan akan terus dijalankan dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada berlakunya aktiviti penyalahgunaan dadah di premis hiburan.
Menurut kenyataan itu, operasi berkenaan bertujuan memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara melalui tindakan penguatkuasaan yang berterusan.
Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik turut menegaskan komitmennya dalam memerangi dadah demi melindungi generasi masa kini dan akan datang, sambil menyifatkan dadah sebagai musuh nombor satu negara.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah boleh menyalurkannya melalui Hotline JSJN di talian 012-208 7222 atau Hotline JSJN IPK Sarawak di talian 017-592 9211.