SIMANGGANG: Lapan pelajar yang terkandas di luar Bahagian Sri Aman akibat penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini telah selamat tiba di bandar ini pada petang Khamis lepas.
Dua buah bas yang membawa pelajar tersebut selamat tiba di Dewan Suarah Sri Aman pada waktu petang dengan kehadiran mereka di situ segera dikendalikan oleh pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Sri Aman.
“Para petugas APM segera mengendalikan urusan pendaftaran kemasukan kesemua pelajar ini termasuk mereka yang baharu pulang dari Semenanjung Malaysia sebelum setiap mereka dipasang gelang Penjejakan Digital.
“Sebaik sahaja selesai, para petugas kami terus bertindak menyerahkan kesemua pelajar berkenaan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi proses kuarantin,” kata pegawainya, Kapten (PA) Siti Huzaimah Ibrahim.
Beliau memberitahu kesemua petugasnya telah memakai Kelengkapan Perlindungan Peribadi (PPE) ketika mengendalikan pelajar tersebut sambil mengamalkan penjarakkan sosial yang selamat.
APM Daerah Sri Aman katanya lagi amat berpuas hati kerana diberikan tugas membantu mengurus kemasukan pelajar tersebut di sini dan akan terus bersedia membantu mana-mana agensi kerajaan yang memerlukan bantuan mereka kelak.
“Kesemua petugas yang terlibat dalam urusan pengendalian dan penghantaran pelajar ke pusat kuarantin di sini telah berangkat pulang ke bilik operasi APM Daerah Sri Aman pada jam 7 petang,” katanya.
Terdahulu, pelajar Sarawak yang pulang ke zon merah dan kuning wajib melalui memakai gelang Penjejakan Digital agar pergerakan mereka dapat dipantau ketika melalui proses kuarantin di kawasan masing-masing.
Manakala itu, pelajar yang pulang ke zon hijau pula akan di kuarantin hotel bagi mengelak berlakunya penularan pandemik Covid-19 sehingga menjejaskan status zon kawasan tersebut.
Pelajar yang mengunakan penerbangan khas untuk ke pulang ke negeri ini telah di urus oleh Rumah Sarawak di Semenanjung Malaysia dengan kesemua mereka ini berada di asrama tanpa keluar sebelum itu.