Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Lapan orang awam diangkat ‘Hero Bomba’ di Miri
  • WILAYAH

Lapan orang awam diangkat ‘Hero Bomba’ di Miri

Utusan Sarawak 5 hours ago
TAHNIAH… Enjay Kong Zhen Wei (kanan) dan Nicholas Rithcer Robinson (kiri) terharu menerima pengiktirafan ‘Hero Bomba’ pada Majlis Pelancaran Ops Siaga Raya dan Kempen Keselamatan Kebakaran JBPM Sarawak 2026 di Miri, petang tadi.

MIRI: Seramai lapan orang awam di Daerah Miri diangkat sebagai ‘Hero Bomba’ oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak atas keberanian dan keprihatinan mereka membantu dalam beberapa insiden kecemasan sebelum ini.

Pengiktirafan tersebut disampaikan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian pada
Majlis Pelancaran Ops Siaga Raya dan Kempen Keselamatan Kebakaran JBPM Sarawak 2026 yang diadakan di sini, petang tadi.

Pengarah JBPM Sarawak, Jamri Masran berkata pengiktirafan tersebut diharap menjadi inspirasi kepada masyarakat untuk terus berganding bahu bersama JBPM dalam memperkukuh budaya keselamatan kebakaran di negeri ini.

“Semangat sukarela dan kebersamaan yang ditunjukkan oleh para penerima membuktikan komuniti memainkan peranan penting dalam membantu pasukan penyelamat,” katanya semasa berucap pada majlis tersebut.

Tiga penerima iaitu Chong Tet Fatt, Hon Yeng Koong dan Yong Foh Lung diiktiraf atas sumbangan mereka membantu operasi pemadaman kebakaran Rumah Panjang Chengki Sebatu, Niah, selain terlibat dalam operasi banjir besar di Subis dan Suai serta kebakaran belukar dan tanah gambut di Ladang Sungai Balim dan Kuala Sibuti.

Sementara itu, Enjay Kong Zhen Wei dan Nicholas Rithcer Robinson turut menerima penghargaan selepas bertindak pantas memadam kebakaran melibatkan almari di asrama sekolah Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang pada 25 Januari lalu, sekali gus mengelakkan kebakaran daripada merebak dan menyebabkan kerosakan lebih besar.

Dalam kejadian berasingan pada 15 November 2025, Clement Ho Yun Lung dan Derick Soo juga diiktiraf atas tindakan berani mereka membantu memadam kebakaran rumah kediaman di Kampung Wireless di sini.

Selain itu, Puttra Endra menerima sijil penghargaan atas usaha menyelamatkan seorang mangsa cubaan menggantung diri,dalam kejadian di Pangkalan Feri Lama Kuala Baram pada 21 Januari lalu.

Sementara itu, Enjay Kong Zhen Wen, 17, berkata beliau berasa gembira dan terharu menerima pengiktirafan tersebut.

“Saya tidak sangka akan menerima sijil ‘Hero Bomba’. Saya cuma lakukan apa yang patut untuk mengelakkan api daripada merebak. Saya gembira dapat membantu dan bersyukur keadaan dapat dikawal,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak selepas menerima sijil tersebut.

Seorang lagi penerima, Nicholas Rithcer Robinson turut meluahkan rasa bangga kerana dapat membantu dalam situasi kecemasan itu.

“Saya hanya fikir untuk pastikan keselamatan rakan-rakan di asrama. Saya gembira kerana dapat membantu dan tidak menyangka usaha kecil itu dihargai oleh pihak bomba,” ujarnya.

Oleh Liong Chai Ling

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: Operasi SAR Igoh Sengaling ditangguh, akan disambung jika ada petunjuk baharu
Next: APM Saratok pantas alih pokok tumbang, pulihkan laluan Nanga Batang Ulu Krian

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.