
SARIKEI: Usaha memperkasa komuniti diteruskan apabila sebanyak lapan badan bukan kerajaan (NGO) menerima geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) pada semalam.
Hadir bagi menyerahkan geran tersebut ialah Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Dato’ Sri Huang Tiong Sii.
Katanya, pemberian geran tersebut merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan dalam menyokong pelbagai aktiviti komuniti dan program berimpak yang dijalankan NGO di kawasan Meradong.
“Hari ini, saya telah menyerahkan geran MRP kepada beberapa penerima bagi menyokong pelbagai aktiviti dan program komuniti di kawasan Meradong.
“Sebanyak lapan cek telah diserahkan bagi memenuhi keperluan NGO,” katanya ketika ditemui media di Pusat Khidmat Parlimen Sarikei.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada kesemua NGO yang menerima geran MRP atas komitmen mereka dalam memajukan masyarakat setempat melalui pelbagai program sosial, kebudayaan, pendidikan, kemudahan komuniti dan aktiviti kesukarelawanan.
“Terima kasih kepada semua NGO yang terlibat atas komitmen. Semoga geran MRP ini memberi manfaat serta terus memperkasa usaha pembangunan komuniti kita,” katanya.
Tambahnya, sokongan berterusan terhadap NGO adalah penting bagi memastikan pembangunan di peringkat akar umbi dapat dilaksanakan secara efektif dan inklusif.
Oleh Earl Anek