Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • GLOBAL
  • Lapan maut kedai bunga api meletup di China
  • GLOBAL

Lapan maut kedai bunga api meletup di China

Utusan Sarawak 3 hours ago
TANGKAP layar video insiden letupan sebuah kedai bunga api yang mengorbankan lapan nyawa dan mencederakan dua yang lain di Daerah Donghai, wilayah Jiangsu, timur China pada Ahad,

BEIJING, China: Lapan maut manakala dua lagi cedera dalam satu letupan di sebuah kedai bunga api di Daerah Donghai, wilayah Jiangsu, timur China, pada Ahad.

Menurut pihak berkuasa tempatan, kejadian sekitar 2.30 petang itu berpunca daripada “pelepasan tidak wajar” bunga api oleh seorang atau beberapa penduduk kampung berhampiran premis berkenaan.

Pasukan pengurusan kecemasan, bomba, keselamatan awam dan kesihatan bergegas ke lokasi untuk menjalankan operasi menyelamat serta mengawal keadaan.

Kebakaran akibat letupan itu berjaya dipadamkan sekitar 4.00 petang. Lapan mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala dua lagi mengalami kecederaan melecur ringan.

Pihak berkuasa memaklumkan siasatan sedang dijalankan dan individu yang dipercayai bertanggungjawab telah ditahan bagi membantu siasatan.

Insiden itu berlaku ketika China memasuki tempoh kemuncak penggunaan bunga api sempena sambutan Tahun Baharu Lunar yang disambut pada hari ini.

Kementerian Pengurusan Kecemasan China mengingatkan orang ramai supaya mengelakkan amalan tidak selamat seperti menguji bunga api atau merokok berhampiran premis jualan bahan berkenaan.

Kementerian itu turut mengeluarkan notis kepada syarikat pengeluar dan pengedar bunga api di seluruh negara supaya menjalankan pemeriksaan menyeluruh terhadap risiko serta bahaya keselamatan.

Kemalangan industri dilaporkan kerap berlaku di China, sering dikaitkan dengan kelemahan pematuhan piawaian keselamatan.

Awal bulan ini, letupan di sebuah kilang bioteknologi di wilayah Shanxi mengorbankan lapan individu. Pada akhir Januari lalu, satu lagi letupan di kilang keluli di wilayah Inner Mongolia menyebabkan sekurang-kurangnya sembilan maut. – AFP

Continue Reading

Previous: IndiGo lanjutkan pembatalan penerbangan empat laluan antarabangsa
Next: Karya Frida Kahlo kembali ke Mexico selepas hampir 20 tahun

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.