LAWAS: Seramai lapan lelaki tempatan berusia antara 22 hingga 52 tahun ditahan dalam beberapa operasi berasingan yang dijalankan polis di sekitar Lawas antara 28 Julai hingga 3 Ogos lalu selepas didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine (Meth & Amp).
Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Liong Tindan berkata, semua tangkapan dilakukan hasil operasi berterusan bagi membanteras penyalahgunaan dadah di daerah itu.
Katanya, pada 28 Julai lalu kira-kira 11.40 pagi, sepasukan polis menahan dua lelaki tempatan berusia 33 dan 22 tahun yang bekerja sebagai buruh di tepi Jalan Lawas-Damit kerana disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
“Pemeriksaan lanjut terhadap kedua-dua suspek tidak menemui sebarang barang salah atau dadah. Bagaimanapun, hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis Meth & Amp.
“Semakan rekod lampau mendapati seorang daripada suspek tidak mempunyai rekod kesalahan, manakala seorang lagi mempunyai satu rekod kesalahan berkaitan dadah. Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pada 29 Julai lalu, polis turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun yang bekerja sebagai buruh di tepi Jalan Trusan, Lawas kerana disyaki terbabit dalam penyalahgunaan dadah.
Katanya, pemeriksaan lanjut tidak menemui sebarang barang salah atau dadah, namun hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif Meth & Amp.
“Semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai dua rekod kesalahan berkaitan dadah. Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Menurut Liong, pada 1 Ogos lalu kira-kira jam 3 petang, seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun yang tidak bekerja turut ditahan di tepi Jalan Pekan Sundar, Lawas kerana disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
Katanya, hasil pemeriksaan tidak menemui sebarang barang salah atau dadah, manakala ujian saringan air kencing mendapati suspek positif Meth & Amp.
“Semakan rekod lampau mendapati suspek tidak mempunyai rekod kesalahan. Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Beliau berkata, operasi diteruskan pada 2 Ogos lalu apabila seorang lagi lelaki tempatan berusia 49 tahun yang bekerja sebagai buruh ditahan di tepi Jalan Trusan, Lawas kira-kira 5.00 petang kerana disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
Katanya, pemeriksaan lanjut tidak menemui sebarang barang salah atau dadah, namun suspek didapati positif Meth & Amp menerusi ujian saringan air kencing.
“Semakan rekod lampau mendapati suspek tidak mempunyai rekod kesalahan. Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Tambahnya, pada 3 Ogos lalu kira-kira 4.00 petang, polis menahan tiga lelaki tempatan yang bekerja sebagai buruh di tepi Jalan Lawas-Damit kerana disyaki terbabit dalam penyalahgunaan dadah.
“Pemeriksaan lanjut terhadap ketiga-tiga suspek tidak menemui sebarang barang salah atau dadah. Hasil ujian saringan air kencing mendapati semua suspek positif Meth & Amp.
“Semakan rekod lampau mendapati dua daripada tiga suspek mempunyai satu rekod kesalahan berkaitan dadah. Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Oleh Adeng Edrus





