
LAPAN lelaki tempatan ditahan dalam beberapa serbuan berkaitan dadah yang dijalankan BSJND IPD Bau di beberapa lokasi sekitar daerah Bau semalam.
BAU: Lapan lelaki tempatan ditahan dalam beberapa serbuan berkaitan dadah yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau semalam.
Ketua Polis Daerah Bau, Supt Mohd Haide A. Rahman berkata, tangkapan dibuat menerusi Op Bersepadu Pencegahan Jenayah dan Op Waran Tangkap BSJND yang dijalankan dari 10.30 pagi hingga 1.00 tengah hari di sekitar Kampung Skiat Lama, Kampung Merembeh, Kampung Pangkalan Tebang, Kampung Tringgus serta Pejabat BSJND Bau.
Beliau berkata, empat daripada suspek berusia antara 23 hingga 31 tahun didapati memiliki paket plastik lutsinar yang mengandungi bahan disyaki dadah jenis syabu dengan jumlah rampasan seberat 1.19 gram, dianggarkan bernilai RM120.
“Mereka ditahan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah,” katanya.
Mohd Haide berkata, kesemua lapan suspek turut menjalani ujian saringan awal air kencing dan didapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
“Susulan itu, kesemua mereka turut ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana menyalahgunakan dadah,” katanya.
Beliau berkata, semua suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Bau. Empat daripada mereka akan dipohon reman di Mahkamah Majistret Bau pada 16 Julai, manakala seorang lagi akan didakwa di Mahkamah Bau pada tarikh sama bagi satu kes terdahulu.
Beliau turut memaklumkan bahawa tiada rampasan lain dibuat sepanjang operasi tersebut.
Oleh Connie Chieng




