
KUCHING: Satu operasi narkotik yang dijalankan di kawasan Singai dan Sebobok semalam membawa kepada penahanan lapan lelaki.
Ketua Polis Bau, Supt Mohd Haide A Rahman berkata pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Bau melaksanakan Op Tapis Khas dan Op Waran Tangkap pada 6.45 pagi hingga 9.00 pagi.
Beliau memaklumkan bahawa salah seorang suspek didapati membawa dua paket kecil lutsinar berisi bahan kristal dipercayai syabu. Kes itu disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Menurut Haide, kesemua suspek yang berumur antara 21 hingga 34 tahun turut didapati positif dadah selepas menjalani ujian air kencing awal dan kini ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) akta sama.
Beliau menegaskan bahawa pihak polis akan terus tegas menangani kegiatan dadah dan menggesa orang ramai menyalurkan maklumat melalui hotline NCID Bukit Aman di 012 208 7222 atau hotline NCID IPK Sarawak di 017 592 9211.