
BINTULU: Kapal tunda ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Bintulu ketika rondaan petang semalam kerana disyaki gagal mematuhi syarat sah lesen.
Kapal itu ditahan sekitar 2.00 petang pada kedudukan 0.38 batu nautika barat daya Batu Kura-Kura oleh pasukan rondaan APMM Bintulu yang melaksanakan Operasi Tiris 3.0 dan OP Permai 01/2019.
Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah berkata, hasil pemeriksaan mendapati kapal dikendalikan lapan kru termasuk nakhoda warga Indonesia berusia antara 23 hingga 48 tahun.
“Kapal tunda itu disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 22(2A), Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana gagal memaklumkan secara bertulis kepada Pendaftar Kapal mengenai pertukaran nama nakhoda dalam sijil pendaftaran kapal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kesalahan tersebut memperuntukkan hukuman kompaun sehingga RM2,500.
Kapal tunda bersama semua kru kemudiannya diiring masuk ke Pusat Tahanan Kapal Tunda Zon Maritim Bintulu untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut.
Beliau turut mengingatkan komuniti maritim agar sentiasa mematuhi undang-undang dan prosedur keselamatan semasa berada di laut.
Sebarang aduan atau maklumat kecemasan boleh disalurkan ke talian 999, Pusat Operasi Zon Maritim Bintulu di 086-314254 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di 082-432544 yang beroperasi 24 jam.
Oleh Carolyne Utih