KUCHING: Seramai lapan kru termasuk nakhoda telah ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Ibu Pejabat Maritim Negeri Sarawak pada Isnin.
Menurut Unit Komunikasi Korporat Ibu Pejabat Maritim Negeri Sarawak, suspek ditahan disyaki melakukan kerja-kerja pemunggahan minyak diesel hak kerajaan tanpa kebenaran ke kapal tangki tidak dikenalpasti beranggaran RM215,000 sekitar 4.00 pagi di perairan Tanjung Po.
Pengarah Maritim Negeri Sarawak Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata, penahanan itu dibuat berdasarkan aduan yang diterima oleh Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, bot tunda berkenaan dikendalikan oleh lapan kru termasuk nakhoda, kesemua kru adalah warga tempatan berumur dalam lingkungan 24 hingga 73 tahun. Kesemua mempunyai pengenalan diri yang sah.
“Kesemua kru kemudian ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan (Akta 574) kerana kesalahan pecah amanah jenayah iaitu dipercayai telah menjual minyak diesel yang dibekalkan oleh Tentera Diraja Malaysia (TLDM) bagi tugasan pengukuran laut,” katanya.
Maritim Malaysia sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti Maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan, jenayah maritim atau kecemasan di laut terus ke talian Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544/ 010-7728909 yang beroperasi 24 jam.
Oleh Mohd Neenatul Aizal