

SPAOH: Tender pembinaan pusat hemodialisis di Klinik Kesihatan (KK) Spaoh akan dilaksanakan bulan depan, menurut Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Beliau berkata, kontraktor yang dilantik diharap dapat melalukan pembinaan pusat hemodialisis itu dalam tempoh lapan bulan.
“Pusat hemodialisis itu merupakan satu daripada tiga yang akan dilaksanakan oleh Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA),” katanya selepas merasmikan Kelas Masakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ranting Ulu Paku, hari ini.
Kursus yang diadakan di Rumah Mendit Unsu di Penom dikendalikan oleh Ketua Wanita PBB Bukit Saban, Natasha Nasa Uggah.
Beliau berkata, kursus itu adalah untuk menyediakan kemahiran yang diperlukan untuk membantu mereka menambah pendapatan.
“Ini adalah sebahagian daripada usaha kita untuk memperkasakan golongan wanita. Kita akan terus menganjurkan lebih banyak kursus untuk membantu mereka menjadi usahawan,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai pusat hemodialisis, Uggah berkata setiap satunya akan menelan belanja RM5 juta.
“Kita percaya ia akan mengurangkan kesesakan di Hospital Sri Aman dan Betong serta klinik kesihatan Debak. Untuk Spaoh akan dibina di Klinik Kesihatan Spaoh. Mereka yang mendapatkan rawatan sedemikian juga tidak perlu memandu jauh apabila pusat itu diwujudkan kelak.
“Dua pusat lain seperti itu akan dibina juga di Kabong dan Beladin,” tambahnya.
Sementara itu, menyentuh mengenai dua projek naik taraf jalan baharu di sini yang dilancarkannya semalam, beliau menyatakan keyakinannya kontraktor dapat menyiapkan kerja-kerja seperti yang dijadualkan.
Jalan-jalan itu termasuklah Jalan Selangking/Ng Sela/Tanjung Paoh RM16 juta dan Jalan Taji Spaoh memperuntukkan kos berjumlah RM20 juta.
“Saya melihat kontraktor membawa masuk beberapa jentera berat serba baharu. Saya harap mereka akan kekal di sini untuk menyiapkan kerja-kerja dan tidak dibawa pergi atau dipindahkan ke tempat lain nanti,” ujarnya.
Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan geran berjumlah RM169,300 kepada sebuah sekolah dan enam organisasi.
OLEH ADI SAFARMAN