
VIENTIANE, Laos: Pihak berkuasa Laos mengeluarkan amaran cuaca panas hingga sangat panas di seluruh negara, sambil menggesa orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga susulan suhu dijangka mencecah setinggi 40 darjah Celsius, lapor Xinhua.
Sistem tekanan cuaca rendah sederhana hingga kuat, digabungkan dengan angin barat, sedang mempengaruhi kebanyakan kawasan negara itu, menurut laporan yang dikeluarkan hari ini oleh Jabatan Meteorologi dan Hidrologi, sambil menjelaskan keadaan itu dijangka membawa cuaca panas meluas dengan jerebu kering berterusan sepanjang hari.
Beberapa wilayah diramalkan mengalami suhu puncak sehingga 40 darjah Celsius, katanya.
Pihak berkuasa turut memberi amaran mengenai peningkatan risiko berkaitan cuaca panas melampau, termasuk strok haba, bahaya kebakaran serta kemungkinan litar pintas.
Jabatan itu menasihatkan penduduk agar mengehadkan aktiviti luar dalam tempoh yang lama, kekal terhidrat dan sentiasa peka terhadap perubahan keadaan cuaca.
-Bernama