LAWAS: Rakyat di Utara Sarawak khususnya daerah Lawas dan Limbang menaruh harapan tinggi supaya masyarakat Orang Ulu dari kawasan ini diwakili seorang bertaraf timbalan menteri.
Mereka berharap pimpinan Gabungan Parti Sarawak(GPS) dapat berbincang hal ini dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang setakat ini belum lagi mengumumkan senarai timbalan menteri dalam Kerajaan Perpaduan.
Pemanca Kading Palong berkata, wakil masyarakat Orang Ulu di Utara Sarawak penting dalam membawa suara rakyat di pedalaman negeri ini.
“Kita perlu ada wakil dari Utara Sarawak supaya seimbang dalam memiliki suara rakyat dalam Kerajaan Persekutuan dan kita yakin ini turut dipertimbang oleh Premier Sarawak.
“Selama ini banyak pembangunan yang dinikmati adalah hasil usaha wakil kita iaitu Dato Henry Sum Agong (sebelum ini Timbalan Menteri Pengangkutan) yang terbukti memiliki rekod cemerlang membela rakyat di kawasan Orang Ulu di Utara Sarawak ini,” katanya kepada Utusan Sarawak.
Sementara itu Penghulu Ajan ak Renang daripada masyarakat Iban Lawas melihat kesinambungan pembangunan perlu diteruskan oleh Kerajaan Persekutuan.
“Kita tidak mahulah pembangunan yang dibawa oleh bekas timbalan menteri kita dulu, Dato Henry Sum Agong terhenti di meja kajian atau terbengkalai.
“Ini penting kerana apa yang telah beliau usahakan semasa di Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Kementerian Pengangkutan perlu diteruskan,” katanya.
Beliau juga memberitahu bahawa ramai anak muda tidak bijak menilai cara pemimpin atau Ahli Parlimen mereka bersuara.
“Kita bukan melihat kelantangan bersuara tetapi tidak ada isi seperti yang dilihat dalam media atau televisyen.
“Wakil kita Dato Henry Sum seorang yang berpengalaman, berhemah dan beradap tinggi dan beliau biasanya akan berjumpa dengan mana-mana menteri untuk membawa masalah rakyat dan kerap kali menteri-menteri persekutuan dibawa turun melawat ke Lawas mahupun ke Ba’kelalan,” katanya.
Penghulu Ajan berkata beliau amat kenal dengan Henry Sum yang bukan jenis insan yang suka mencari publisiti sebaliknya sentiasa bekerja secara senyap dan memastikan sahaja apa yang rakyat mohon dapat diusahakan.
Katanya, agihan kabinet persekutuan sekarang sudah baik kerana ramai menteri penuh dari Sarawak dan ini akan bertambah baik jika ada wakil dari Utara Sarawak yang masih jauh ketinggalan dari segi pembangunan berbanding kawasan lain di negeri yang luas ini.
Bagi Penghulu Ajan dan Pemanca Kading, suara rakyat di Utara Sarawak amat penting untuk didengar kerana rakyat yang mempunyai hak mengundi juga mempunyai hak untuk diwakili dalam kerajaan peringkat persekutuan mahupun Sarawak.
Mereka juga yakin Timbalan Perdana Menteri Dato’ Sri Fadillah Yusof lebih memahami aspirasi dan kehendak rakyat di Sarawak secara lebih mendalam.
Oleh ADENG EDRUS