ENGKILILI: Pewujudan jawatan Pemanca akan memberi impak yang besar kepada sistem pengurusan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Melayu Engkilili.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnical Rayong Ngipa memberitahu jawatan Pemanca mewakili masyarakat Melayu akan dilaksanakan di Engkilili tidak lama lagi.
Katanya, ia penting sebagai salah satu usaha berterusan pihaknya untuk memastikan masyarakat Islam di Engkilili terus menikmati inisiatif pembangunan dari kerajaan pada masa depan.
“Dengan wujudnya jawatan Pemanca dalam kalangan masyarakat Melayu di Engkilili, ia akan memudahkan agenda pembangunan dijalankan ke kawasan-kawasan majoriti Islam seperti mana yang berlaku di kawasan-kawasan kaum Iban dan Cina yang telah mempunyai Pemanca selama ini.
“Kalau mereka Cina dan Iban ada Pemanca, masyarakat Melayu Islam pun harus ada Pemanca, jadi jawatan Pemanca bagi Melayu kini dalam proses dan akan diwujudkan tidak lama lagi bagi mewakili Kampung Melayu Engkilili.
“Perkara ini saya anggap ‘terlepas pandang’ yang sepatutnya dilakukan dari dahulu lagi, apabila ada jawatan Pemanca di sini nanti, senang untuk kita menguruskan JKKK kita di sini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis pemimpin bersama rakyat di Dewan Perpaduan Kampung Melayu Engkilili di sini, pagi tadi.
Rayong berkata dengan perkembangan senario politik semasa di Engkilili pada ketika ini juga akan menjadi nilai tambah kepada perkara tersebut yang akhirnya akan memberi manfaat kepada masyarakat Islam di Engkilili keseluruhannya.
“Jadi, rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Engkilili pada hari ini tidak perlu risau disebabkan saya telah menjadi wakil rakyat Gabungan Parti Sarawak (GPS) bukanlah lagi wakil rakyat pembangkang seperti sebelum ini.
“Saya harap kita harus bekerjasama antara satu sama lain lupakan apa yang telah berlaku yang lepas-lepas, mana yang keruh kita buang jernih kita ambil, kita melihat masa depan jangan dengar cakap orang YB Rayong masuk Parti Demokratik Progresif (PDP) sahaja tetapi belum GPS ini adalah berita palsu berita tidak benar, sekarang saya sudah GPS 100 peratus,” tegasnya.
Pada majlis itu, Rayong turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM150,000 untuk kerja-kerja menaik taraf prasarana di Dewan Perpaduan Kampung Melayu Engkilili.
Selain itu, JKKK Kampung Melayu Engkilili dan pihak pengurusan Masjid Darul Naaim Kampung Melayu Engkilili turut menerima peruntukan projek kecil luar bandar (MRP) masing-masingnya berjumlah RM10,000.
Pemberian dana khas tersebut adalah bagi memudahkan penduduk serta pihak pengurusan Masjid Darul Naaim Kampung Melayu Engkilili menjalankan aktiviti-aktiviti bermanfaat di sepanjang tempoh Ramadan.
Oleh Adi Safarman