KUCHING: Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berharap Menteri bakal menjawat jawatan penting terutama melibatkan kawasan luar bandar yang dipilih selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 nanti adalah mereka yang berasal dari Sabah dan Sarawak.
Katanya, ini penting bagi memastikan kawasan luar bandar di Sabah dan Sarawak tidak ketinggalan.
“Harapan saya ialah Ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak selepas pilihan raya mereka akan dapat diangkat untuk menjawat jawatan dan kementerian penting dalam Kerajaan Pusat yang boleh membantu membangunkan kedua-dua buah negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada selepas majlis perasmian persidangan ‘EAT Taste of Borneo 2022’ di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.
Abdul Karim berkata, jika dilihat pada masa ini, Sabah dan Sarawak amat jauh ketinggalan dari segi pembangunan.
“Jadi kita memerlukan kementerian yang mana menterinya berasal dari Sabah dan Sarawak kerana mereka lebih faham di manakah kawasan yang perlu dibangunkan.
“Saya tidak beritahu bahawa menteri dari Semenanjung tidak baik tapi masalahnya sekarang ialah apabila seseorang menteri menjawat jawatan penting itu, dia sukar untuk ke kawasan kita.
“Sebagai contoh kalau seorang dilantik sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar dari Semenanjung, kita boleh semak dalam masa satu atau lima tahun hanya beberapa kali sahaja datang ke Sarawak, mereka susah mahu datang.
Jadi bagaimana dia tahu keadaan di Sabah dan Sarawak,” katanya.
Ditanya mengenai kemungkinan jawatan Timbalan Perdana Menteri diberi untuk Sarawak atau Sabah Abdul Karim berkata, ia adalah hak Perdana Menteri untuk melantik.
“Bagaimanapun, belum pernah ada mana-mana ahli politik dari Sabah dan Sarawak yang diangkat untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri,” katanya.