WASHINGTON: Calon presiden Demokrat Joe Biden menggesa kekosongan di Mahkamah Agung berikutan kematian hakim Ruth Bader Ginsburg, diisi selepas pilihan raya presiden pada November, lapor agensi berita Sputnik.
“Cucu perempuan (Ginsburg) (Clara Spera) semalam berkata … kata-kata akhir mendiang ialah mahu penggantinya tidak diumum sehingga presiden baharu dipilih,” kata Biden pada Ahad di Philadelphia, Pennsylvania.
Biden berkata walaupun Presiden Donald Trump mahu mengemukakan nama pada masa sekarang, Senat tidak boleh mengambil sebarang tindakan sehingga rakyat Amerika memilih presiden yang baharu.
Senator Susan Collins pada Sabtu berkata mengikut perlembagaan Trump mempunyai hak untuk membuat pencalonan tetapi memandangkan pilihan raya presiden akan datang “keputusan pelantikan untuk Mahkamah Agung harus dibuat oleh Presiden yang dipilih pada 3 Nov” dan Senat tidak boleh memilih calon sebelum pilihan raya.
Bercakap kepada wartawan pada Sabtu, Trump berkata beliau akan mencalonkan nama untuk hakim Mahkamah Agung yang baharu pada minggu depan dan tidak bersetuju dengan pendirian Collins mengenai isu itu.
Antara nama yang menjadi pilihan Trump untuk jawatan itu ialah Amy Coney Barrett dan Barbara Lagoa.
Ruth Bader Ginsburg meninggal dunia pada Jumaat di rumahnya di Washington akibat komplikasi kanser pankreas pada usia 87 tahun. – Bernama