
KUALA LUMPUR: Tindakan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mewajibkan semua pengendali dron mendapatkan permit sebelum menerbangkan peralatan berkenaan, tepat bagi menjamin keselamatan ruang udara negara.
Presiden Yayasan Mahir Malaysia, Datuk P Sri Ganes, berkata langkah itu selaras keperluan kawal selia bagi mencegah penyalahgunaan teknologi dron yang boleh mengancam keselamatan negara, termasuk aktiviti pengintipan, penyeludupan dan pencerobohan ke kawasan larangan.
“Peraturan ini bukan sekadar langkah kawal selia tetapi keperluan kritikal dalam menangani risiko penyalahgunaan teknologi dron untuk tujuan tidak bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
CAAM baru-baru ini mewajibkan semua pengendali dron sama ada bagi operasi berisiko rendah atau tinggi, aktiviti komersial atau rekreasi, mendapatkan permit sebelum menerbangkan peralatan berkenaan.
Keperluan permit itu turut membabitkan dron atau pesawat tanpa pemandu dilengkapi kamera dan terbang pada paras bawah 122 meter.
Sehubungan itu, Sri Ganes menggesa kerajaan mengambil pendekatan tegas seperti negara lain dengan mengenakan hukuman denda tinggi dan penyitaan peralatan bagi mengelak sebarang penyalahgunaan.
“Tanpa penguatkuasaan tegas, pelanggaran keselamatan boleh membawa kepada dasar lebih ketat yang mungkin menjejaskan perkembangan industri dron tempatan,” katanya.
Sri Ganes yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SG Education Group berkata, lebih 2,500 insiden membabitkan dron hampir melanggar pesawat dilaporkan oleh badan penerbangan antarabangsa setakat ini.
Beliau bagaimanapun berkata, negara mempunyai program latihan dan pensijilan dron ketat seperti Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat (Bahagian 107) dan Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA), melaporkan kadar kemalangan dan pelanggaran undang-undang dron yang lebih rendah.
“Sekiranya Malaysia gagal menguatkuasakan latihan dan pensijilan ketat, negara mungkin berisiko tinggi dalam industri dron serantau dan kehilangan peluang ekonomi kepada negara jiran yang mempunyai peraturan lebih ketat dan selamat,” katanya.
Sri Ganes berkata industri dron global dijangka berkembang kepada AS$54 bilion (RM240 bilion) menjelang 2030, dan Malaysia berada pada kedudukan strategik untuk menjadi peneraju dalam sektor berkenaan.
Beliau turut menegaskan, penguatkuasaan ketat terhadap permit dan pensijilan bukan halangan kepada kemajuan, sebaliknya asas kepada pembentukan industri dron yang selamat, profesional dan inovatif. – BERNAMA