JALINAN kerjasama diantara Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) dan Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) telah berjaya menganjur Liga Bola Sepak SSC-FAS 2021 boleh dianggap sebagai langkah tepat dalam mengembalikan kegemilangan bola sepak di negeri kita.
Menteri Belia Dan Sukan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata penganjuran liga ini juga telah memberi peluang kepada ramai pemain yang berusia bawah umur 25 tahun untuk menunjuk bakat mereka dan bersaing dengan rakan sebaya yang datang dari setiap bahagian di Sarawak.
“Kejohanan bolasepak tempatan ini turut memberi landasan kepada para pemain untuk menunjukkan aksi dan komitmen yang mantap.
“Apa yang saya lihat tahap permainan pemain cukup memberangsangkan. Saya percaya ramai pemain yang menyertai tidak pernah bermain di atas padang tiruan,” katanya semasa berucap merasmikan penutupan Kejohanan Liga SSC-FAS 2021 di Bintulu, baru-baru ini.
Justeru, Abdul Karim berkata kejohanan ini memberi pengalaman baharu kepada mereka dan diharap ramai bakat-bakat baharu di kalangan pemain yang menyertai pertandingan ini akan terpilih mewakili negeri selepas ini.
“Untuk itu, kita tidak akan berhenti untuk mengadakan kejohanan dan acara-acara sukan supaya kita tidak lagi ketinggalan seperti dua tahun lalu.
“Usaha kita ini juga selaras dengan impian untuk menjadikan Sarawak sebagai kuasa sukan pada masa akan datang,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau akan terus memberikan sokongan moral dan kewangan bagi meneruskan kejohanan ini kerana melalui pertandingan seperti ini kita dapat mengenal pasti bakat-bakat baharu, untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi.
Dalam pada itu, Abdul Karim turut menyampaikan hadiah kepada juara Liga SSC-FAS 2021 yang disandang oleh pasukan Sri Aman FA.
Turut disampaikan ialah anugerah pemain terbaik perlawanan akhir dan juga Anugerah Kasut Emas telah dinobatkan kepada bekas penyerang muda skuad negeri, Mohd Adif Salim yang merupakan pemain Sri Aman FA.
Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Nancy Jolhi, Presiden FAS Datuk Posa Majais serta barisan Exco FAS dan pegawai SSC.
Oleh ADI SAFARMAN