
KUCHING: Sarawak kini giat merancang untuk muncul sebagai ‘bateri hijau’ serantau, namun impian tenaga boleh baharu itu juga berisiko membawa kesan besar kepada alam sekitar, demikian menurut pakar.
Terletak di antara Semenanjung Malaysia, Indonesia, Singapura dan Filipina, kepemimpinan Sarawak percaya negeri ini mampu menjadi pemangkin penting dalam peralihan tenaga serantau.
Limpahan sungai dan jeram menawarkan potensi tenaga hidro yang melimpah, malah berupaya menjana pengeluaran hidrogen hijau satu hari nanti.
Negeri ini turut memasang panel solar serta mempromosikan biojisim bagi menambah kapasiti tenaga boleh baharu, dengan Premier Sarawak, Datul Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberitahu pelabur di Eropah minggu lalu bahawa negeri itu ‘komited terhadap masa depan tenaga rendah karbon dan mampan’.
Sarawak mula menghasilkan tenaga hidro sejak beberapa dekad lalu, dan kini sedang membina loji hidro keempat.
Setakat ini, ia menjana kira-kira 3,500 megawatt (MW), yang mencukupi untuk membekalkan elektrik kepada dua hingga tiga juta isi rumah Asia Tenggara setiap hari.
Ladang solar terapung pertamanya sudah menjana kira-kira 50MW, manakala beberapa lagu lagi dirancang, kata Naib Presiden Kanan Sarawak Energy Corporation, Chen Shiun kepada AFP.
Dengan populasi kurang tiga juta orang, lebihan tenaga yang berpotensi sangat besar, jelasnya.
Menjelang 2030, Sarawak menyasarkan untuk menjana kira-kira 10,000MW, dengan sebahagian besarnya daripada hidro, diikuti solar dan gas asli.
Ia berhasrat membekalkan tenaga kepada negeri jiran Sabah dan Brunei, serta berpotensi menyalurkan ke Semenanjung Malaysia, Singapura dan Filipina.
Cita-cita negeri ini disifatkan sebagai ‘berani dan berpotensi’, serta memberi ‘isyarat kukuh untuk mempercepatkan peralihan tenaga serantau’, kata penganalisis Asia di badan pemikir tenaga Ember, Shabrina Nadhila kepada AFP.
Permintaan tenaga di Asia Tenggara meningkat lebih dua kali ganda dalam sedekad lalu, dan dijangka terus bertambah apabila kelas menengah semakin ramai memasang penyaman udara serta kemunculan pusat data yang menggunakan tenaga tinggi.
Kuala Lumpur berharap peningkatan permintaan itu dapat menghidupkan semula cadangan lama mengenai grid elektrik serantau yang menghubungkan negara anggota ASEAN.
“Sarawak adalah contoh baik untuk kita pelajari, khususnya apabila kita bercakap tentang APG (Grid Tenaga ASEAN),” kata pegawai kanan tenaga Malaysia, Zaidi Mohd Karli kepada AFP.
Kini, sambungan elektrik rentas sempadan sepanjang 128 kilometer sudah menyalurkan tenaga hidro dari Sarawak ke Indonesia.
Negeri ini juga menimba pengalaman dari negara ASEAN lain seperti Laos, yang melancarkan pelan hidro serupa pada Februari lalu dengan sasaran menukar kira-kira 1,500MW tenaga elektrik dengan China menjelang tahun depan. – AFP