Datuk Abdullah Saidol ketika ditemui pemberita selepas Program Berjalan Untuk Kesihatan Bersama Premier Sarawak di Taman Botani Sarawak hari ini. Foto UKAS
PETRA JAYA: Tindakan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) membawa isu penjelasan kerangka kawal selia operasi petroleum di Sarawak ke mahkamah disifatkan berpotensi mencetuskan kecurigaan politik.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Komunikasi dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, langkah itu menimbulkan persoalan kerana ia dilakukan atas inisiatif Petronas sendiri dan bukan oleh kerajaan Sarawak, sekali gus membuka ruang kepada pelbagai tafsiran politik.
Menurut beliau, meskipun perkara berkenaan kini berada dalam proses kehakiman, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan kerajaan negeri kekal menghormati kebebasan mahkamah untuk membuat keputusan tanpa campur tangan politik.
“Apabila sesuatu isu dibawa ke mahkamah, kita serahkan sepenuhnya kepada proses perundangan. Segala andaian di luar mahkamah sepatutnya diketepikan,” katanya.
Namun jelasnya, kecurigaan politik tetap timbul apabila dikaitkan dengan Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA 74), memandangkan individu dan institusi yang terlibat dalam kerangka undang-undang tersebut mempunyai pengaruh besar, termasuk hubungan langsung dengan Petronas.
“Ada pihak melihat Perdana Menteri juga mempunyai kaitan dengan PDA 74, lalu timbul andaian bahawa tindakan Petronas ini mungkin mendapat ‘restu’ politik.
“Inilah persepsi yang wujud, walaupun kita masih berada dalam kerangka Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Berjalan Untuk Kesihatan Bersama Premier Sarawak di Taman Botani Sarawak, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Abdullah menegaskan kerajaan Sarawak akan terus mengekalkan hubungan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan sehingga pilihan raya akan datang, namun pendirian politik GPS di peringkat negeri kekal jelas dan tidak berkompromi.
Katanya, GPS akan bertanding di semua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri di Sarawak, dengan keputusan muktamad ditentukan oleh Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Kita mampu mengurus Sarawak sendiri dan pada masa sama terus memajukan negeri ini tanpa campur tangan pihak luar,” katanya.
Beliau turut memberi peringatan kepada pihak tertentu, khususnya dari Semenanjung, agar tidak mencetuskan sentimen yang boleh mengeruhkan suasana politik di Sarawak.
“Apabila kesedaran rakyat semakin tinggi, keadaan akan menjadi sukar dikawal jika sentimen ini dimanipulasi,” katanya.
Oleh Shahrul Qaizat