KUCHING: Pembelian tanah di Bintulu oleh Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC Sarawak) adalah langkah perniagaan yang strategik selain untuk memudahkan pembangunan hab kimia petroleum (PetChem).
Pengerusi SEDC, Tan Sri Datuk Amar Dr. Abdul Aziz Husain berkata, sejajar dengan pertumbuhan ekonomi pesat yang bakal berlaku di Bintulu, SEDC Sarawak telah membeli dua bidang tanah berukuran kira-kira 1,002.2 ekar yang terletak di kawasan Perindustrian Kidurong dengan harga RM340 juta.
“Pembelian tanah ini adalah langkah perniagaan yang strategik kerana ia merupakan satu-satunya tanah yang terdapat berhampiran kompleks petrokimia Gas Cecair Asli (LNG) yang berdekatan dengan laut.
“Selain itu, ia diperlukan untuk pembangunan hab PetChem di Sarawak yang memerlukan lokasi strategik dan lengkap dengan banyak kemudahan yang diperlukan.
“Setelah siap dan beroperasi sepenuhnya, pusat ini juga akan merangsang pembangunan ekonomi Sarawak untuk menjadi ekonomi berorientasi eksport yang mana pembangunan kemudahan bersepadu akan menjana pendapatan dari perkhidmatan yang diberikan kepada pemain industri,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Ujarnya, SEDC optimis bahagian Bintulu berpotensi untuk mempertahankan kedudukannya sebagai pengeluar LNG yang terkemuka di dunia serta sebagai hab PetChem dalam masa terdekat dengan penubuhan Hab Petrokimia Sarawak.
Menurutnya, harga tanah yang dibeli turut membantu agensi itu untuk mendapat penjimatan sejumlah RM60 juta atau kira-kira 15 peratus daripada nilai pasaran iaitu RM400 juta dan akan dapat memberi manfaat pada masa hadapan.
“Penubuhan Hab Petrokimia Sarawak ini juga pasti akan menimbulkan minat ramai pemain utama dalam industri petrokimia dunia dan berpotensi menarik perhatian pelabur serta asing yang mana ia akan membantu dalam penyediakan dana, kepakaran dan teknologi asing untuk mempelbagaikan industri ekonomi serta produk hiliran.
“Bintulu dianggap sesuai untuk penubuhan hab PetChem kerana ia akan mempunyai akses ke bahan baku, menjadi titik pendaratan ladang gas luar pesisir dan dekat dengan saluran paip gas yang ada serta banyak aktiviti seperti amonia atau urea, LNG dan Gas ke Industri hiliran cecair (GtL) yang sudah ada di sana ditambah dengan industri berat di Samalaju yang berdekatan,” jelasnya.
Menurutnya, masyarakat harus sedar permintaan global untuk barangan petrokimia akan meningkat maka oleh itu, Sarawak berpotensi untuk menjadi pengeksport produk hiliran utama dan bernilai tinggi yang dihasilkan melalui aktiviti pelaburan di hab tersebut.
“Barangan petrokimia dijangka akan menyumbang lebih dari satu pertiga dari pertumbuhan permintaan minyak global pada tahun 2030 dan sekitar separuh pada tahun 2050, menurut laporan International Energy Agency (IEA), yang berjudul ‘Masa Depan Petrokimia Ke Arah plastik yang lebih lestari dan baja.
“Selain merangsang ekonomi Sarawak, pusat ini juga akan meningkatkan kualiti hidup penduduk tempatan di mana peluang pekerjaan akan tersedia di sana, pengangkutan awam dan infrastruktur juga akan dikembangkan dan ditingkatkan,” kata lagi.
Oleh Zarina Abdullah