
BINTANGOR: Langkah pencegahan kebakaran terus diperkasa apabila pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor melaksanakan pemeriksaan menghapus bahaya kebakaran (MBK) di lima premis sekitar daerah ini, semalam.
Ketua BBP Bintangor, Mahmudin Narudin, berkata pemeriksaan yang dijalankan pada 9.30 pagi tersebut melibatkan dua anggota bomba dengan memberi fokus terhadap aspek keselamatan seperti sistem pendawaian, laluan kecemasan serta penyelenggaraan alat pemadam api.
“Pemeriksaan ini penting untuk mengenal pasti potensi risiko kebakaran di peringkat awal dan memastikan semua premis mematuhi piawaian keselamatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
“Pemeriksaan MBK turut memberi pendedahan kepada pemilik premis tentang langkah-langkah pencegahan kebakaran serta keperluan mengekalkan tahap keselamatan bangunan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, pihaknya turut menasihati pemilik supaya sentiasa menyemak tarikh luput alat pemadam api, tidak menutup laluan keluar dan mengelakkan pendawaian yang berlebihan atau tidak mengikut spesifikasi.
“MBK bukan sahaja bersifat pemeriksaan, tetapi juga bertujuan meningkatkan kesedaran awam terhadap bahaya kebakaran yang boleh dielakkan melalui tindakan pencegahan awal.
Katanya, ia juga bertujuan membantu membentuk komuniti yang lebih prihatin dan bersedia menghadapi sebarang insiden kecemasan.
“Pihak kami akan meneruskan pemeriksaan seumpama ini dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan awam berada pada tahap terbaik.
“Saya menggesa agar semua pemilik premis memberikan kerjasama penuh kepada anggota bomba semasa pemeriksaan dilakukan dan mengambil serius setiap nasihat yang diberikan demi keselamatan bersama,” tambahnya.
Oleh Earl Anek