Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Langkah kekang buli di IPT, status Ombudsman Malaysia antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini
  • NASIONAL

Langkah kekang buli di IPT, status Ombudsman Malaysia antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

Utusan Sarawak 3 days ago

KUALA LUMPUR: Langkah mengekang buli di institut pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta serta hasil keputusan kerajaan berhubung status penubuhan Ombudsman Malaysia antara perkara yang akan dibangkitkan pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) meminta Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan langkah berkenaan pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri. 

Pada sesi sama, Syahredzan Johan (PH-Bangi) akan meminta Perdana Menteri menyatakan hasil keputusan kerajaan susulan sesi libat urus menyeluruh dengan pihak berkepentingan berhubung status penubuhan Ombudsman Malaysia serta menjelaskan langkah-langkah yang dirancang bagi mempercepatkan pelaksanaannya.

Turut menarik perhatian ialah soalan berhubung aduan kos rawatan yang tinggi di hospital swasta yang akan dibangkitkan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) kepada Menteri Kesihatan pada sesi soal jawab lisan.

Suhaizan juga ingin mengetahui rancangan lima tahun kerajaan untuk memperkenalkan sistem kumpulan berkaitan diagnosis (DRG) sebagai langkah untuk menyelaraskan penstrukturan kos kesihatan serta sekiranya ada rancangan mewujudkan tribunal pesakit untuk mereka meluahkan perasaan tidak puas hati.

Rushdan Rusmi (PN-Padang Besar) pula meminta Menteri Sumber Manusia menyatakan jika kementerian mempunyai cadangan untuk mewujudkan perjawatan koordinator keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) di sektor awam selaras dengan perubahan Akta OSH yang telah ditambah baik pada 2022.

Selepas sesi soal jawab, persidangan Dewan Rakyat akan diteruskan dengan perbahasan usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), yang bermula sejak Isnin lepas dan telah disertai 78 Ahli Parlimen.

RMK13 yang bertemakan “Melakar Semula Pembangunan” dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 31 Julai lepas, dengan pelaburan RM611 bilion perlu disediakan kerajaan untuk memacu pembangunan negara bagi tempoh 2026 hingga 2030.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 24 hari hingga 28 Ogos.– Bernama

Continue Reading

Previous: Malaysia tuan rumah mesyuarat mengenai Laut China Selatan di Kuching
Next: Polis berjaya rampas cip kasino yang dicuri bernilai RM2 juta

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.