
KUALA LUMPUR: Langkah syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk melaksanakan gaji untuk sara hidup pada kadar minimum RM3,100 sebulan kepada 153,000 pekerja adalah pencapaian penting yang boleh memangkinkan reformasi gaji dengan lebih meluas di pasaran buruh Malaysia, kata pakar ekonomi.
Selain meningkatkan produktiviti, langkah berkenaan yang tidak pernah dilakukan sebelum ini dijangka dapat merangsang penggunaan domestik, menambah baik hasil sosioekonomi rakyat Malaysia serta mengukuhkan daya tahan ekonomi negara.
Pakar ekonomi Dr Nungsari Ahmad Radhi dan profesor ekonomi Sunway University Dr Yeah Kim Leng bersetuju bahawa walaupun angka itu mewakili sebahagian kecil daripada 12 juta tenaga kerja di Malaysia, inisiatif berkenaan boleh menjadi penanda aras kepada syarikat besar lain, terutamanya yang disenaraikan di Bursa Malaysia Bhd.
“Ini adalah inisiatif baik yang dilaksanakan oleh syarikat-syarikat ini, yang lazimnya merupakan syarikat besar yang tersenarai. Majikan sedemikian perlu membayar gaji yang berpatutan,” kata Nungsari kepada Bernama.
Beliau berkata langkah ini juga boleh meningkatkan persaingan pasaran buruh bagi menarik bakat dan pada masa sama mendorong syarikat untuk meningkatkan produktiviti melalui latihan dan pembangunan kakitangan.
Senada dengan pandangan ini, Yeah berkata komitmen oleh GLIC dan GLC ini boleh menjadi dorongan kepada reformasi gaji negara yang bertujuan menangani paras gaji rendah yang berlarutan sejak sekian lama.
“Ia turut menyokong matlamat Malaysia untuk meningkatkan bahagian pampasan pekerja kepada 35 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) seperti yang disasarkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12,” katanya.
Inisiatif ini adalah sebahagian daripada Program Pengaktifan dan Reformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP), yang dilancarkan pada 2024 oleh Kementerian Kewangan bagi menyelaraskan semula peranan GLIC dan GLC dengan agenda pembangunan negara.
Program berkenaan yang merangkumi komitmen terhadap pelaburan pemangkin, peningkatan komuniti dan pembangunan bakat di samping pembaharuan gaji, setakat ini telah menyalurkan sebanyak RM11 bilion daripada RM25 bilion daripaa GLIC, dengan tumpuan kepada sektor berpertumbuhan dan bernilai tinggi dan meningkatkan hasil sosioekonomi rakyat Malaysia.
Yeah berkata pelarasan gaji antara RM100 hingga RM300 sebulan bagi setiap pekerja, boleh menghasilkan sebanyak RM200 juta-RM500 juta pampasan pekerja tambahan pada setiap tahun.
“Peningkatan dalam pendapatan boleh guna ini dijangka meningkatkan penggunaan domestik dan memperteguh daya tahan ekonomi Malaysia,” katanya.
Bagaimanapun, kedua-dua pakar ekonomi ini berpandangan usaha memperluas dasar gaji berkenaan kepada sektor swasta, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), memberikan cabaran yang berbeza
“PKS mempunyai struktur kos dan tahap daya saing yang berbeza. Walaupun ada dalam kalangan mereka yang mampu menawarkan gaji sedemikian, namun mungkin banyak yang tidak mampu. Semuanya bergantung kepada kedudukan kewangan mereka,” kata Nungsari.
Beliau menegaskan bahawa reformasi gaji secara menyeluruh memerlukan lebih banyak firma menjadi lebih kompetitif di peringkat serantau, berinovasi serta meneroka pasaran baharu bagi memperoleh margin keuntungan yang lebih baik dan mampu membayar gaji yang lebih tinggi.
“Perubahan asas hanya akan berlaku apabila kita menyokong firma baharu yang meneroka bidang baharu. Di sinilah satu lagi komponen GEAR-uP, modal risiko untuk usaha niaga baharu boleh memainkan peranan sebagai pemangkin transformasi,” katanya.
Dari segi dasar, Nungsari menekankan bahawa sokongan kerajaan perlu ditumpukan kepada penetapan tahap gaji minimum, meningkatkan pencapaian usaha pendidikan, dan memberi insentif kepada firma yang melabur dalam peningkatan produktiviti dan penerapan teknologi.
Beliau berkata dasar pekerja asing yang jelas juga penting supaya tidak menjejaskan insentif syarikat untuk mengautomasikan operasi dan menawarkan gaji yang lebih tinggi.
Sementara itu, Yeah berkata peningkatan gaji perlu disertai dengan penambahbaikan berterusan dari segi produktiviti dan kecekapan.
“Kenaikan kos buruh akan mendorong GLC mencari kaedah inovatif untuk meningkatkan hasil serta daya saing.
“Dengan imbuhan yang setimpal dan semangat kerja yang lebih tinggi, pekerja dijangka memberi tindak balas yang positif,” katanya.
Kedua-dua ahli ekonomi itu bersetuju bahawa inisiatif ini selaras dengan kerangka Ekonomi MADANI, khususnya matlamat untuk meningkatkan bahagian pendapatan pekerja dan menggalakkan kemakmuran inklusif.
“Ini mencerminkan pengaruh dana berkanun, antaranya, Khazanah Nasional Bhd, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Permodalan Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) ke atas syarikat pelaburan mereka untuk menjadi contoh teladan.
“Bagaimanapun agar momentum ini akan berkembang di luar daripada ekosistem GLC, Malaysia perlu menerima budaya mengambil risiko dan bersikap terbuka terhadap kegagalan bagi membina firma yang kompetitif serta mampu mengekalkan gaji yang lebih tinggi,” kata Nungsari.– Bernama