Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Langkah apungkan harga ayam tawar harga kompetitif kepada pengguna
  • NASIONAL

Langkah apungkan harga ayam tawar harga kompetitif kepada pengguna

Utusan Sarawak 2 years ago
PENGUNJUNG tidak melepaskan peluang membeli ayam segar dengan harga RAHMAH di Dataran Putrajaya pada 4 November lalu. FotoBERNAMA

IPOH: Langkah kerajaan mengapungkan harga ayam di pasaran sejak 1 November lalu memberi manfaat kepada pengguna kerana pengeluar, pemborong dan peruncit ayam akan bersaing sesama sendiri bagi menawarkan harga yang kompetitif kepada pelanggan. 

Ketua Jabatan Ekonomi Fakulti Pengurusan dan Ekonomi Universiti Pendidikan Sultan Idris Prof Madya Dr Zainizam Zakariya berkata, mereka perlu menawarkan harga kompetitif bagi mengelak risiko kehilangan pelanggan kerana pengguna akan beralih kepada mereka yang menawarkan harga lebih rendah dan berpatutan.

“Hampir seminggu selepas penamatan subsidi ayam, harga yang ditawarkan dalam pasaran adalah kompetitif dan jauh lebih rendah daripada harga bersubsidi iaitu harga purata ayam bersih standard peringkat nasional adalah RM8.51 sekilogram dan di Semenanjung Malaysia adalah RM8.49.

“Malah harga ayam yang ditawarkan di pasar raya jauh lebih rendah iaitu serendah RM7.49 sekilogram. Di Terengganu pula media melaporkan  harga ayam segar turun sehingga 15 peratus atau RM1.40 sekilogram yang mana kebanyakan peniaga menjual antara RM7.20 dan RM7.99 sekilogram,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata langkah kerajaan untuk tidak meneruskan subsidi harga ayam secara tidak langsung mampu menjimatkan perbelanjaan hampir RM4 bilion setahun.

Sehingga Februari lepas, kerajaan telah membelanjakan subsidi keseluruhan untuk ayam berjumlah RM3.8 bilion dengan manfaat tersebut telah dinikmati oleh penternak. 

“Hakikatnya walaupun dengan harga bersubsidi, harga ayam masih lagi tinggi semasa musim perayaan. Persoalannya, siapa yang mendapat manfaat berkaitan subsidi harga ayam? Sudah pasti ia bukan dinikmati oleh pengguna,” katanya.

Pengapungan harga mengikut mekanisme permintaan dan penawaran itu juga, kata beliau menjadikan industri ternakan ayam bersifat  dinamik dan mampu menarik pelaburan dan penggunaan teknologi terkini yang dapat mengurangkan kos pengeluaran.

Beliau juga berkata terdapat ramai pengeluar ayam di negara ini dan pembeli serta pengguna dapat membezakan harga dan kualiti produk bagi setiap pengeluar yang bersaing.

Terdapat juga kebimbangan kemungkinan penurunan harga ayam ketika ini hanya bersifat sementara yang sengaja dilakukan oleh penternak bertujuan membunuh penternak kecil yang lain melalui mekanisme ‘penentuan harga predatori’, katanya. 

“Melalui kaedah ini, perternak yang berskala besar sanggup untuk menurunkan harga agar penternak-penternak kecil tidak mampu bersaing dalam pasaran terbuka yang akhirnya mereka terpaksa memberhentikan operasi. 

“Dengan tiadanya persaingan yang sihat, penternak berskala besar mungkin akan kembali memonopoli harga ayam dalam jangka masa panjang. Jadi, adalah diharapkan supaya kerajaan dan agensi berkaitan melakukan pemantauan berkala agar tidak berlaku peningkatan yang ketara ke atas harga ayam di pasaran yang boleh memberi kesan negatif kepada pengguna,” katanya.

Pada 30 Oktober lepas, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu mengumumkan subsidi dan kawalan harga ayam ditamatkan berkuat kuasa 1 November selaras dengan pendekatan penyasaran semula subsidi secara berfasa yang dilaksanakan kerajaan. – Bernama

Continue Reading

Previous: Anwar dijangka jelas pendirian kerajaan mengenai RUU AS, sekat pihak sokong Hamas
Next: PM Anwar putuskan sertai APEC 2023 di Amerika Syarikat

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.