DITENGAH-tengah negara serta rakyat berperang dengan gelombang ketiga pandemik Covid-19, timbul pula polimek politik yang menggemparkan sejak tiga minggu yang lalu.
Mungkin semalam serba sedikit polimek politik itu terjawab setelah Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-MUstafa BillahShah di Istana Negara.
Bagaimanapun Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu hanya mengemukakan jumlah Ahli Dewan Rakyat yang didakwa memberi sokongan terhadapnya untuk membentuk kerajaan dalam sesi pertemuan selama 25 minit itu.
Menurut kenyataan Istana Negara jumlah berkenaan dikemukakan Anwar selepas Seri Paduka berkenan menerima menghadap beliau pada 11.00 pagi semalam.
Bagaimanapun Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, dalam kenyataan itu Anwar tidak mengemukakan senarai nama Ahli Dewan Rakyat yang menyokongnya untuk mengukuhkan dakwaan berkenaan.
Sehubungan dengan itu, Al-Sultan Abdullah telah menasihati Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk akur dan menghormati proses-proses perundangan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Namun dalam sidang media beberapa jam selepas itu, Anwar meminta semua pihak memberi ruang kepada Seri Paduka untuk meneliti dokumen berkenaan dan mendakwa Yang di-Pertuan Agong akan memanggil ketua-ketua parti untuk pengesahan.
“Yang di-Pertuan Agong mempunyai ruang dan kuasa, (jadi) tidak wajar untuk kita tetapkan waktu. Saya pohon semua pihak memberi ruang kepada baginda menjalankan tanggungjawab mengikut perlembagaan dan budi bicara Tuanku untuk menelaah dokumen dan dalam satu (atau) dua hari, memanggil ketua parti (bagi) mengesahkan, dan mendapat input dan pandangan sebaiknya,” katanya.
PERJALANAN ‘LANGKAH ANWAR’
Sebelum ini, dua hari sebelum hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 diadakan, Anwar membuat pengumuman mengejut bahawa beliau memiliki majoriti sokongan ahli Parlimen yang ‘meyakinkan’ untuk membentuk kerajaan baharu menggantikan kerajaan Pakatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau turut menyatakan menerima perkenam Yang di-Pertuan Agong untuk dipanggil menghadap pada 22 September lalu, namun acara menghadap ditangguhkan susulan Seri Paduka Baginda gering dan menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).
Lebih menarik, Anwar turut menyatakan sebuah kerajaan ‘Bumiputera Islam’ bakal terbentuk, dengan spekulasi 121 Ahli Parlimen dikatakan bakal menyokong beliau termasuk 19 ahli Parlimen daripada UMNO.
Memanaskan keadaan apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengakui, beliau tidak dapat menghalang Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk menyokong Anwar.
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Anwar Ibrahim hanya menunggu perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-MUstafa BillahShah untuk menghadap bagi mengemukakan hasrat membentuk kerajaan baharu.
Namun, apabila sebahagian besar Ahli Parlimen UMNO dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menafikan dakwaan itu, persoalannya adakah Anwar benar-benar mempunyai angka sokongan yang mencukupi untuk membentuk kerajaan?.
Mengikut amalan demokrasi pembentukan kerajaan Malaysia, mana-mana parti atau gabungan memerlukan sekurang-kurangnya 112 kerusi Parlimen bagi memperoleh majoriti mudah membentuk kerajaan.
Malangnya diatas kertas, Anwar ketika ini hanya mempunyai sokongan 91 Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) terdiri daripada wakil rakyat DAP (42 kerusi), PKR (38 kerusi) dan Amanah (11).
TETAPI JANGAN DIPANDANG ENTENG KEMAMPUAN ANWAR
Kalau Anwar terbukti ada ‘angka’ sokongan, Agong mungkin meminta perkara itu dikemukakan dalam sidang Parlimen pada 2 November hadapan bagi mengelak institusi diraja dijadikan bahan kemarahan rakyat.
Selain itu, Anwar sebenarnya berdepan dilema untuk memperjelaskan sokongan yang diterima kepada Agong kerana sokongan itu perlu dibuktikan bukan bersyarat untuk tujuan pembubaran Parlimen, tetapi sokongan mutlak dengan tidak lagi bersifat majoriti tipis.
Timbalan Pengerusi Institut Darul Ehsan, ProfesorDatuk Dr Mohammad Redzuan Othman berpendapat, ‘Langkah Anwar’ kali ini perlu dipandang serius dan dilihat lebih meyakinkan berbanding sebelum ini.
Lebih menarik, inisiatif itu bautpertama kalinya dilaksanakan Anwar secara persendirian dan tidak melalui pakatan politik. Langkah politik yang dibuat oleh Anwar juga tepat pada masanya dan kurang mengundang kemarahan rakyat.
Satu bentuk penjajaran politik baharu berteraskan ‘kerajaan Bumiputera Islam’ dijangka dibentuk.
Ramai mungkin tidak menyedari sokongan Ahli Parlimen kepada Anwar adalah secara individu dan bukan lagi berbentuk kepartian.
Justeru tidak ada masalah untuk Ahli Parlimen UMNO dan DAP duduk di bawah satu bumbung walaupun mereka sebelum ini dilihat sukar bekerjasama.
Persoalannya, dengan sejarah Anwar sudah tiga kali membuat pengumuman mempunyai cukup majoritiuntuk menjadi kerajaan, adakah Anwar dapat merelisasikan impiannya untuk duduk di kerusi empuk Perdana Menteri di Putrajaya kali ini?.
KRONOLOGI DAKWAAN ANWAR MEMILIKI ‘ANGKA’
1) September 2008
ANWAR dakwa ada sokongan majoriti membentuk kerajaan baharu setelah Pakatan Rakyat (PR) tewas pada PRU-12 yang diadakan pada Mac tahun sama.
BN ketika itu diterajui bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi menang PRU-12 dengan 140 kerusi Parlimen.
Anwar kemudiannya menegaskan 31 Ahli Parlimen BN, majoriti daripada Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak, sudah menyertai PR selain menggesa Abdullah tidak kuat kuasa undang-undang darurat untuk halang peralihan kuasa.
2) FEBRUARI 2020
SELEPAS bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad membuat keputusan mengejut meletak jawatan pada 24 Februari, kerajaan Pakatan Harapan (PH) secara automatik terbubar.
Susulan itu, berlaku polemik pelantikan Perdana Menteri baharu mendebarkan sepanjang tempoh seminggu bagi membolehkan Yang di-Pertuan Agong memuktamadkan pengganti Dr Mahathir.
Di tengah-tengah kebuntuan siapa bakal Perdana Menteri baharu, beberapa pemimpin PKR mendakwa Anwar memiliki angka sokongan ahli Parlimen mencukupi sebanyak 129 orang dengan pemimpin itu kemudiannya mengesahkannya.
3) SEPTEMBER 2020
PENGUMUMAN terkini Anwar mendakwa memperoleh sokongan meyakinkan bagi membentuk kerajaan baharu dilihat banyak pihak seolah-olah mengulangi peristiwa September 2008.
‘Langkah Anwar’ itu juga dianggap sebagai gimik bagi membolehkan Warisan Plus memenangi PRN Sabah, susulan ia diadakan dua hari sebelum hari pengundian.
Anwar juga mendakwa kerajaan baharu bakal dibentuk adalah ‘kerajaan Bumiputera Islam’ dengan sejumlah 19 ahli Parlimen UMNO dikaitkan dengan gerakan politik beliau.
Oleh Anthony Punan