Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Langkah AirBorneo perkenal pesawat kargo, buka rantaian bekalan global
  • KOLUMNIS

Langkah AirBorneo perkenal pesawat kargo, buka rantaian bekalan global

Utusan Sarawak 3 days ago

BARU-baru ini, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan salah sebuah pesawat ATR-72 milik AirBorneo akan diubah suai menjadi pesawat kargo.

Langkah ini bertujuan untuk menghantar hasil pertanian seperti nanas, terung asam, sayur midin dan lain-lain ke pasaran antarabangsa khususnya di Singapura dalam keadaan yang masih segar.

Tidak setakat itu, hasil ternakan seperti ikan tilapia, ayam dan itik turut dapat dihantar dalam kuantiti besar bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat di republik tersebut.

Dalam era digital, peranan pesawat kargo adalah sangat kritikal.

Ledakan e-dagang melalui platform global seperti Amazon, Alibaba, Shopee, Lazada termasuk TikTok telah melonjakkan permintaan untuk perkhidmatan penghantaran pantas.

Konsep penghantaran pada hari sama (same-day delivery) atau penghantaran pada hari berikutnya (next-day delivery) adalah mustahil dapat dicapai tanpa rangkaian kargo udara yang efisien.

Tambahan pula, barangan bernilai tinggi dan sensitif seperti produk elektronik, farmaseutikal dan makanan segar amat bergantung pada kepantasan serta kawalan logistik ketat yang hanya mampu ditawarkan oleh pengangkutan udara.

Statistik global menunjukkan kargo udara hanya merangkumi kurang satu peratus daripada jumlah volum perdagangan antarabangsa, namun nilainya menyumbang lebih 35 peratus daripada keseluruhan nilai perdagangan dunia.

Fakta ini membuktikan kepentingan sektor kargo udara sebagai nadi penggerak ekonomi moden yang sentiasa berkembang.

Hal ini kerana ia mampu beradaptasi dengan perubahan teknologi bagi memastikan kelancaran perdagangan peringkat antarabangsa.

Sejarah kargo udara bermula pada awal abad ke-20 dengan penghantaran surat menggunakan pesawat ringan.

Peranannya berkembang pesat semasa Perang Dunia Kedua apabila pesawat kargo menjadi tulang belakang logistik untuk menghantar bekalan makanan, senjata dan peralatan ke medan perang.

Peristiwa Berlin Airlift (1948–1949) membuktikan keupayaan logistik udara sebagai talian hayat kritikal.

Operasi besar-besaran ini dilancarkan oleh tentera udara Bersekutu untuk membekalkan makanan, bahan bakar dan ubat-ubatan kepada penduduk Berlin Barat yang terkepung akibat sekatan darat oleh Kesatuan Soviet.

Sejak itu, konsep kargo udara komersial terus berkembang menjadi komponen penting dalam sistem perdagangan global sehingga yang kita dapat lihat pada waktu sekarang.

Dalam industri penerbangan, pesawat kargo dikelaskan kepada beberapa kategori.

ANTARA pesawat kargo.

Pertama, Dedicated freighters iaitu pesawat yang dibina khusus untuk mengangkut barangan. Contohnya Boeing 747F, Boeing 777F dan Airbus A330-200F.

Pesawat jenis ini paling banyak digunakan oleh operator global seperti FedEx, UPS, DHL Aviation dan Cargolux yang mengendalikan rangkaian kargo antarabangsa berskala besar.

Selain itu, terdapat juga pesawat kargo khas seperti Airbus BelugaXL yang mempunyai bentuk unik digunakan untuk membawa bahagian pesawat besar, Boeing Dreamlifter untuk komponen Boeing 787 dan Antonov An-124 atau An-225 yang direka untuk mengangkut kargo luar biasa bersaiz gergasi seperti jentera industri, kenderaan berat atau satelit.

Kedua, converted freighters (P2F) iaitu pesawat penumpang yang diubah suai sepenuhnya untuk tujuan kargo.

ANTARA pesawat kargo.

Contohnya, Malaysia Airlines pernah mengendalikan Airbus A330 yang ditukar kepada kargo, manakala Raya Airways menggunakan Boeing 767 dan 737 yang diubah suai untuk operasi penghantaran.

Selain itu, pesawat ATR-72 yang akan digunakan oleh AirBorneo pula tergolong dalam kategori pesawat serantau yang ideal untuk laluan jarak pendek terutamanya bagi penghantaran produk segar.

Kategori ketiga pula ialah combi aircraft. Pesawat ini merupakan sebuah pesawat hibrid yang mampu membawa penumpang dan kargo serentak di dek utama.

Contoh bagi konsep ini ialah pesawat tentera seperti Lockheed C-130 Hercules yang boleh mengangkut anggota tentera dan palet kargo pada masa sama untuk pelbagai misi.

Sebagaimana pesawat penumpang, pesawat kargo juga perlu mematuhi prinsip berat dan imbang (weight and balance) bagi memastikan pusat graviti pesawat kekal stabil.

Oleh itu, pengurusan kargo di dalam pesawat bukanlah sekadar proses memuatkan barangan tetapi ia melibatkan sistem teliti yang mematuhi piawaian antarabangsa.

Kargo biasanya disusun di dalam Unit Load Device (ULD) iaitu kontena atau palet khas yang direka untuk memudahkan proses pemindahan.

Kontena standard seperti LD3, LD6 dan LD9 digunakan secara meluas untuk memastikan kargo tersusun rapi, selamat dan seragam mengikut dimensi ruang pesawat.

Sebagai contoh, kontena LD3 (dimensi sekitar 1.53m × 1.56m × 1.17m) lazimnya digunakan untuk bagasi dan barangan kecil, manakala LD6 (3.18m × 2.44m × 1.63m) sesuai untuk barangan lebih besar.

Kontena LD9 (3.18m × 2.44m × 2.44m) pula digunakan bagi muatan pukal seperti peralatan industri.

Kesemua ULD ini direka bentuk untuk mempercepatkan proses logistik di lapangan terbang.

Di samping itu, setiap kargo akan dipastikan berada dalam kawalan suhu yang disesuaikan dengan barangan sensitif seperti buah-buahan segar, vaksin dan organ perubatan supaya barangan ini tidak rosak semasa perjalanan.

Teknologi moden seperti sistem Identifikasi Frekuensi Radio (RFID), blockchain dan Internet of Things (IoT) kini dimanfaatkan untuk menjejak setiap bungkusan secara masa nyata sekali gus memberikan ketelusan dan keselamatan maksimum.

Selain itu, sistem automasi di lapangan terbang juga mempercepatkan proses pemunggahan yang menjimatkan masa dan tenaga kerja.

Pengendalian kargo udara dikawal selia oleh peraturan antarabangsa yang ketat. ICAO Annex 18 menetapkan garis panduan keselamatan untuk barangan berbahaya, manakala IATA Dangerous Goods Regulations (DGR) memastikan bahan kimia, bahan mudah meletup dan perubatan wajib diuruskan dengan selamat.

Peralihan kepada dokumen digital seperti electronic Air Waybill (e-AWB) telah mempercepatkan proses semakan kastam dengan ketara.

Di Malaysia, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memainkan peranan penting dalam memastikan pematuhan terhadap semua prosedur ini.

Justeru, industri kargo udara negara sentiasa berevolusi selari dengan arus digitalisasi global sekali gus menuntut kepakaran teknikal yang tinggi bagi menjamin kelancaran operasinya.

Gerbang kargo antarabangsa di Malaysia terletak di lapangan terbang utama seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KUL) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PEN).

Lapangan terbang ini dilengkapi dengan gudang moden, sistem pengendalian automatik dan prosedur pelepasan kastam yang cekap.

Semua ini berperanan penting dalam mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab logistik serantau yang unggul.

Inisiatif ini bukan sahaja menarik pelaburan asing tetapi juga mewujudkan peluang pekerjaan baharu yang menyokong pertumbuhan ekonomi digital negara.

Purata kargo udara masuk pada 2024 adalah sekitar 86,000 tan sebulan atau lebih 2,800 tan sehari.

Sebahagian besarnya adalah barangan import yang dibeli secara dalam talian.

Permintaan ini melonjak secara mendadak terutamanya pada musim perayaan seperti Aidilfitri dan Tahun Baharu Cina.

Hab kargo udara utama dunia seperti Hong Kong (HKG), Dubai (DXB) dan Memphis (MEM) beroperasi tanpa henti sepanjang 24 jam sehari kerana jumlah penerbangan yang sangat tinggi.

Hal ini juga disebabkan keperluan menyelaras zon masa antarabangsa serta permintaan global yang berterusan daripada e-dagang, industri farmaseutikal dan barangan bernilai tinggi yang tidak boleh ditangguhkan.

Selain untuk kegunaan komersial, pesawat kargo turut memainkan peranan penting dalam sektor ketenteraan.

Pesawat ikonik seperti Lockheed C-130 Hercules dan Boeing C-17 Globemaster III sering digunakan untuk menghantar bantuan kemanusiaan ke kawasan bencana serta menggerakkan kenderaan dan anggota tentera ke lokasi strategik.

Keupayaan pesawat ini untuk mendarat di landasan pendek atau tidak berturap menyerlahkan fleksibilitinya dalam pelbagai situasi yang menjadi harapan terakhir dalam misi menyelamat di kawasan terpencil.

AirBorneo bermula dengan pesawat kargo ATR-72, ia tampak sederhana jika dibandingkan dengan syarikat kargo lain yang menggunakan pesawat besar seperti Boeing atau Airbus, namun ia membawa mesej yang jelas, iaitu Sarawak akan berada pada landasan baharu untuk menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan global.

  • Penulis memiliki Sarjana Muda Kejuruteraan (Mekanikal-Aeronautik) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan pernah berkhidmat di Hornbill Skyways Sdn Bhd.
Tags: Mohamad Fadillah Sabali

Continue Reading

Previous: Pandangan berbeza tarikh 31 Ogos, 16 September
Next: Pengukuhan kuasa British di Borneo

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.