
BINTULU: Sebuah bot penumpang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Bintulu selepas disyaki melanggar syarat lesen di kedudukan 4.5 batu nautika barat laut muara Sungai Kemena, petang semalam.
Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah berkata, penahanan dilakukan oleh bot peronda Maritim Malaysia yang sedang menjalankan rondaan rutin di bawah Op PERMAI 01/2019 dan Op TIRIS 3.0.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati bot penumpang berwarna putih itu dikendalikan oleh seorang kru warga tempatan berusia 22 tahun,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, bot berkenaan disyaki melakukan kesalahan di bawah Kaedah 12, Kaedah-Kaedah Bot 1953 kerana beroperasi tanpa keanggotaan mencukupi sebagaimana dikehendaki oleh pegawai pelabuhan.

“Jika disabitkan kesalahan, pemilik atau pengendali bot boleh dikenakan denda atau kompaun,” jelasnya.
Bot serta kru berkenaan telah ditahan dan diiring masuk ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
Dalam pada itu, Muhammad Suffian turut menasihatkan komuniti maritim agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang laut serta mengamalkan langkah keselamatan bagi mengelakkan insiden yang tidak diingini.
“Sebarang maklumat, aduan atau kecemasan di laut boleh dilaporkan ke talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu (086-314254) atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak (082-432544) untuk maklum balas segera,” ujarnya.