
MIRI: Dalam amanat 2025, Kementerian Pendidikan Tinggi menegaskan bahawa landskap pendidikan tinggi negara akan terus melalui fasa transformasi dinamik, seiring dengan perubahan industri serta cabaran global.
Pelan Pendidikan Tinggi 2025-2035 telah dirangka sebagai hala tuju masa depan, dan sesi libat urus amat penting bagi memastikan penglibatan pelbagai pihak berkepentingan dalam proses membentuk dasar yang inklusif dan relevan.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkata, kita kini berada di ambang perubahan besar, fokus kita bukan lagi sekadar melahirkan graduan, tetapi membentuk insan bersedia untuk realiti pekerjaan yang semakin kompleks, baik di peringkat nasional mahupun global.
“Kepada warga pendidikan tinggi, saya tegaskan bahawa pendekatan silo sudah tidak relevan, universiti dan industri mesti duduk semeja, merancang, melaksana dan berkembang bersama.
“Sesi seperti ini tidak boleh menjadi majlis bermusim, ia mesti menjadi mekanisme tetap, pendorong utama kepada agenda tinggi transformasi sistem pendidikan negara,” katanya di program sesi libat urus industri zon Borneo Career Fair 2025 di sebuah hotel di sini, hari ini.
Tegasnya, kita mesti mengakui bahawa jurang antara dunia akademik dan keperluan industri masih wujud.
“Antara isu utama yang dikenal pasti termasuk graduan kurang bersedia dari segi kemahiran, praktikal dan sikap profesional.
“Kurikulum yang belum cukup responsif terhadap perubahan industri, penyelidikan universiti yang belum diterjemahkan kepada inovasi pasaran dan penglibatan industri yang masih minimum dalam ekosistem pendidikan tinggi,” katanya.
Tambahnya lagi, fokus utama yang kini diberi perhatian oleh kementerian ialah peningkatan kebolehpasaran graduan secara bermakna, pemeriksaan penyelidikan dan inovasi berasaskan permintaan industri, penghasilan model insan masa hadapan yang adaptif, tangkas dan bernilai tinggi.
“Saya berharap sesi libat urus ini dapat menghasilkan kolaborasi yang menyaksikan UNIMAS dan rakan IPT membentuk pusat kolaborasi industri-universiti menjelang 2026 dalam bidang teknologi digital, minyak dan gas serta industri kreatif.
“Selain itu ‘Industry Talent Incubator’ dapat dibangunkan bersama syarikat utama untuk program latihan kemahiran, upskilling dan microcredential serta manfaatkan kekuatan penyelidikan universiti untuk menyokong inisiatif ESG dan inovasi lestari syarikat-syarikat di Sarawak,” katanya lagi.
Sehubungan itu, kementerian akan terus memainkan peranan sebagai pemudah cara, menyediakan insentif, kerangka kerja dan platform kolaboratif, tambahnya lagi.
Sesi pertukaran Mou antara UNIMAS dan tiga industri iaitu Samling Group, Iana Corporation Sdn. Bhd. dan Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak Cawangan Miri.
Turut hadir Naib Canselor UNIMAS Profesor Dr. Ahmad Hata Rasit.
Oleh Adam Liu