
SIMANGGANG: Hari pertama penganjuran Regata Benak Batang Lupar sempena Pesta Benak 2025 edisi ke-22 menyaksikan sebanyak 10 acara lumba perahu berlangsung dengan meriah di Tebingan Sri Aman, di sini hari ini.
Sebanyak enam perlumbaan dilepaskan pada sesi pagi bermula 8.30 pagi, antaranya Bidar 30 Saringan A yang dimenangi pasukan Landas Azam Kasihnya Warisan, diikuti Bujang Sigat di tempat kedua, Burung Garuda ketiga dan Team Pak Ajis keempat.

Dalam Bidar 15 Saringan A, Lanun Dinara Cut muncul juara, manakala Barracuda meraih tempat kedua, Landas Cahaya Helang Tasik ketiga dan Team Pak Ajis keempat. Sementara itu, acara Bidar 25 Saringan A menyaksikan kejayaan pasukan MRT Gedong, diikuti Barracuda, Burung Garuda dan Todak Berjaya.
Kemenangan turut berpihak kepada pasukan Putera Todak dalam Bidar 10 Saringan A, diikuti Lanun Dinara Cut, Waris Keris Terbang dan Team Pak Ajis. Bagi Bidar 20 Saringan A, Lanun Dinara Cut sekali lagi mengungguli perlumbaan, menewaskan Bujang Sigat, Pancar Buraq Sakti dan Burung Garuda.
Pada Bidar 30 Saringan B, pasukan Bujang Sigat berjaya menamatkan perlumbaan di tempat pertama, meninggalkan Landas Cahaya Helang Tasik, King Paddle G.T dan Burung Garuda.

Sesi petang pula menyaksikan empat perlumbaan pecut yang menjadi tumpuan utama, termasuk acara ‘Raja Pecut’ Bidar 30 yang dimenangi pasukan Landas Azam Kasihnya Warisan, perahu milik Awang Zamhari Wang Mahmood. Pasukan itu membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000 berserta piala.
Tempat kedua disandang pasukan Todak Berjaya (RM1,200), ketiga Pancar Buraq Sakti (RM900), manakala keempat Burung Garuda (RM600).
Pasukan Landas Azam Kasihnya Warisan terus mencuri perhatian apabila mengungguli tiga lagi perlumbaan pecut – Bidar 15, Bidar 25 dan Bidar 20, sekali gus membuktikan dominasi mereka pada hari pertama kejohanan.

Hadiah kepada para pemenang telah disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor yang turut melakukan Majlis Prapelancaran Pesta Benak 2025 Edisi ke-22 hari ini.
Bagi hari kedua esok, sebanyak 10 lagi acara akan berlangsung, termasuk acara tumpuan Unlimited Marathon Bidar 30 yang menawarkan hadiah utama RM3,000. Perlumbaan itu dijangka bermula sekitar 8.00 pagi.
Secara keseluruhan, sebanyak 22 pasukan menyertai Regata Benak Batang Lupar tahun ini bagi merebut gelaran berprestij ‘Raja Sungai’ yang menawarkan hadiah utama wang tunai berjumlah RM25,000.
Pesta Benak 2025 bakal dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, pada esok 10.30 pagi di Tebingan Sri Aman.
Oleh Adi Safarman