

SIBU: Lan Berambeh Sungkei 2025 mencatat sejarah sebagai edisi paling meriah dengan kehadiran lebih 20,000 orang, melangkaui jangkaan awal.
Dataran Tun Tuanku Bujang Fasa 1 menjadi saksi bagaimana program berbuka puasa ini bukan sekadar acara keagamaan, tetapi simbol perpaduan masyarakat pelbagai kaum di Sibu dan kawasan sekitar.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka, Datuk Dr. Annuar Rapa’ee menyatakan keterujaannya melihat kemeriahan acara kali ini.
“Awalnya, kami menjangkakan kehadiran sekitar 20,000 orang, tetapi jumlah sebenar mungkin lebih besar, termasuk dari Bintangor, Semop, Kuala Rajang dan Tanjung Manis.
“Kehadiran masyarakat berbilang kaum yang turut serta berbuka puasa bersama menunjukkan keharmonian dan kebersamaan yang kita bina selama ini,” katanya.
Program tahunan ini bukan hanya menyajikan hidangan berbuka secara ‘potluck’, tetapi turut menarik perhatian dengan pertandingan meriam buluh, selawat, bedil, ‘teter’ beduk serta persembahan nasyid dan qasidah.
Antara kelainan program tahun ini termasuklah ramai peserta tampil dengan pakaian tradisional seperti baju Melayu dan tengkolok, selain kehadiran wakil Ahli Jawatankuasa (AJK) agama lain untuk bersama-sama berbuka puasa.
Program berkenaan dianjurkan oleh Jawatankuasa Tetap Perayaan Islam Bahagian Sibu dan Pusat Khidmat DUN Nangka dengan sokongan pelbagai agensi kerajaan yang memastikan kelancarannya.
Turut hadir, Menteri Perpaduan Dato’ Sri Aaron Ago Dagang, ADUN Ngemah, Anyi Jana, Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Mohamad Sobri Mat Daud serta pemimpin tempatan lain.
-UKAS