
KUALA LUMPUR: Majlis Makan Malam Anak Sarawak sempena program Lan Berambeh Anak Sarawak (LBAS) 2025 berlangsung meriah di MITEC di sini malam tadi, menghimpunkan ribuan anak Sarawak yang bekerja dan menuntut di Semenanjung.
Majlis tersebut menjadi platform untuk memperkukuh hubungan kekeluargaan dan jaringan komuniti dalam kalangan warga Sarawak di perantauan, selain mengukuhkan semangat kebersamaan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, dalam ucapan beliau, menegaskan bahawa Lan Berambeh merupakan wadah untuk menyatukan anak-anak Sarawak tanpa mengira latar belakang dan kedudukan.
“Lan Berambeh ini bukan sekadar perjumpaan. Ia merupakan ruang untuk kita memperteguhkan jati diri sebagai anak Sarawak, walaupun berada jauh dari kampung halaman,” katanya berucap pada majlis tersebut di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, malam ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Sukarelawan Sarawak dan mahasiswa Sarawak yang memainkan peranan penting dalam penganjuran program tahun ini.
“Penglibatan aktif generasi muda dalam penganjuran Lan Berambeh dapat memupuk pengalaman kepimpinan dan semangat kesukarelawanan.
“Perpaduan mestilah kekal menjadi asas kekuatan Sarawak yang perlu dipelihara bersama. Kita datang daripada pelbagai suku kaum, budaya dan latar belakang.
“Namun, kita tetap bergerak sebagai satu keluarga besar Sarawak. Perpaduan ini perlu terus dijaga walau di mana kita berada,” tambahnya.

LBAS 2025 diteruskan hari ini dengan penganjuran pameran pendidikan dan kerjaya, sesi libat urus bersama pemimpin serta pelbagai program kebudayaan.
Acara tahunan itu kekal sebagai platform penting dalam menghimpunkan warga Sarawak di Semenanjung, selain memberi ruang untuk mengeratkan hubungan komuniti dan menyemai rasa kekitaan sebagai anak jati Bumi Kenyalang.
Oleh Masrin Affirah