KOTA SAMARAHAN: Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) sedang melihat pilihan untuk memasang lampu isyarat pintar di bawah projek lampu isyarat Lebuhraya Kuching-Samarahan bagi mengurangkan masalah kesesakan jalan raya di Samarahan.
Menterinya, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, ia adalah antara pilihan bagi mengurangkan masalah tersebut selain pelaksanaan Projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) dan sistem Transit Aliran Autonomi (ART).
Katanya, dari segi mengurangkan isu kesesakan lalu lintas, khususnya di Kota Samarahan, kementerian sedar ia mesti melihat bukan hanya satu pilihan, tetapi pelbagai penyelesaian yang efisyen.
“Ini juga bermakna isu itu perlu ditangani bukan sahaja oleh satu kementerian, malah pelbagai agensi sama ada di peringkat negeri atau Persekutuan bekerjasama untuk memastikan penduduk Kota Samarahan dapat terus menikmati kualiti hidup yang baik.
“Saya berbesar hati memaklumkan bahawa Sarawak Metro bekerjasama rapat dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak untuk memastikan sistem lampu isyarat pintar dan sistem ART akan berfungsi dengan lancar untuk manfaat semua pengguna jalan raya pada masa akan datang,”katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran KUTS Fasa 1 yang dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di sini hari ini
Sementara itu, bercakap mengenai projek KUTS, beliau berkata, MOTS akan memastikan bahawa semua aspek keselamatan untuk projek KUTS, bukan sahaja semasa fasa pembinaan projek malah juga pada fasa beroperasi nanti.
Lee berkata, kementeriannya dipertanggungjawabkan dengan tugasan besar iaitu memastikan kejayaan pelaksanaan Projek KUTS.
“Kami juga memandang serius semua isu yang berkaitan dengan keselamatan, terutamanya mengenai keadaan trafik bercampur untuk ART pada masa hadapan.
“Dari segi sistem pengangkutan awam, keselamatan, keselesaan dan kemudahan untuk penumpang adalah antara tumpuan utama MOTS dan ia sentiasa menjadi keutamaan nombor satu kami iaitu keselamatan penumpang dan pengguna jalan raya yang lain,”katanya.
Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Dr. Sim Kui Hian, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Dr Hazland Abang Hipni, Timbalan Menteri Pembangunan Infrastruktur Sarawak, Aidel Lariwoo, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Samarahan Datuk Rubiah Wang, Pengerusi SEDC dan Sarawak Metro Sdn Bhd, Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Dato Husain.
Oleh SHAHRUL QAIZAT
Gambar hiasan – FB Kamek Sayang Samarahan