
MARUDI: Daerah Marudi hari ini mencatat sejarah apabila sistem lampu isyarat pertama dilancarkan secara rasmi bagi membantu kelancaran trafik dan menjamin keselamatan pengguna jalan raya.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Dr Penguang Manggil, di hadapan Stesen Minyak Petronas Marudi.
Menurut Penguang, pelaksanaan sistem lampu isyarat ini merupakan langkah penting ke arah menyediakan kemudahan lalu lintas yang lebih teratur, moden dan selamat untuk penduduk setempat.

“Walaupun sistem ini masih dalam peringkat percubaan, ia amat penting khususnya menjelang penganjuran Regatta Baram 2025 yang dijangka menarik ribuan pengunjung,” katanya semasa menyampaikan ucapan sempena lawatan ke tapak projek Lampu Isyarat Pintar dan projek pembangunan lain di bawah Majlis Daerah Marudi (MDM).
Beliau turut memaklumkan bahawa Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, dijadualkan merasmikan Regatta Baram 2025 yang akan berlangsung dari 18 hingga 21 September ini.
Selain itu, Premier turut dijangka menyempurnakan majlis pecah tanah pembinaan jalan baharu Miri–Marudi yang akan diadakan di Dataran Marudi pada 20 September 2025.
Oleh Jiku Juguong