

MIRI: Lambakan buah-buahan tempatan di pasaran ketika ini menyebabkan harga jualan menjadi lebih murah, sekali gus memberi kelegaan kepada pengguna.
Tinjauan Utusan Sarawak di Tamu Taman Tunku di sini mendapati raja buah iaitu durian yang sebelum ini dijual mengikut kilogram pada harga sekitar RM35 hingga RM55 bergantung kepada jenis, kini ditawarkan pada harga serendah RM5, RM7, RM10 dan RM20 sebiji mengikut saiz.
Ada juga dijual menggunakan kaedah setompok.
Seorang peniaga buah, Yong Kian Foon, 58, berkata bekalan buah tempatan yang banyak sejak kebelakangan ini menyebabkan peniaga terpaksa menurunkan harga bagi mengelakkan kerugian.
“Sekarang musim buah, durian dan dabai banyak. Kalau tidak jual murah, buah cepat rosak,” katanya ketika ditemui.
Menurutnya lagi, harga dabai yang sebelum ini dijual antara RM35 hingga RM45 sekilogram kini diturunkan kepada sekitar RM25 sekilogram bagi menghabiskan stok.
Sementara itu, seorang pembeli, Siti Aminah, menyifatkan penurunan harga buah-buahan tempatan sebagai peluang terbaik untuk membeli dalam kuantiti lebih banyak.
“Selalunya langsat RM10, sekarang RM5 pun ada. Memang jimat dan berbaloi,” katanya.
Penurunan harga buah tempatan ini dipercayai disebabkan musim buah tempatan yang sedang memuncak, sekali gus memberi manfaat kepada pengguna walaupun peniaga terpaksa mengurangkan margin keuntungan.
Oleh Liong Chai Ling