KUCHING: Lima calon wanita yang dipertaruhkan oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kali ini dijangka tidak berdepan saingan sengit untuk menang kecuali kerusi Parlimen Sri Aman.
Mereka ialah Dato Sri Nancy Shukri yang akan bertanding di kerusi Parlimen Santubong, Datuk Rubiah Wang (Samarahan), Rodiyah Sapiee (Batang Sadong), Dato Sri Doris Sophia Brodi (Sri Aman) dan Dato Hanifah Hajar Taib (Mukah).
Setelah proses penamaan calon berakhir tengah hari tadi, tiada masalah besar bagi GPS terutama calon Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) untuk menang di kawasan majoriti pengundi Melayu/Melanau seperti sebelum ini walaupun ketika era tsunami politik 2018.
Bagaimanapun, mereka perlu bekerja keras dengan bantuan GPS terutama bagi calon berpindah ke tempat baharu dan calon muka baharu.
Nancy berdepan saingan tiga penjuru membabitkan cabaran calon Parti Amanah Negara (AMANAH) daripada gabungan Pakatan Harapan (PH), Mohamad Zen Peli dan calon Bebas, Affendi Jeman.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya itu adalah penyandang kerusi Batang Sadong tetapi beralih ke Santubong, menggantikan Dato Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang mengundur diri secara sukarela.
Tempat Nancy digantikan oleh muka baharu, Rodiyah Sapiee di Batang Sadong yang dicabar pesara guru iaitu Setiausaha Kerja Parti AMANAH Sarawak, Lahaji Lahiya, dalam saingan satu lawan satu.
Kerusi Parlimen Mukah pula menyaksikan pertembungan ulangan seperti PRU-14 apabila Hanifah (GPS-PBB) dicabar sekali lagi oleh calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) mewakili gabungan PH, Abdul Jalil Bujang, yang pernah ditewaskannya pada 2018.
Rubiah pula dicabar oleh Pengerusi Parti Amanah (Amanah) Sarawak, Abang Abdul Halil Abang Naili, seorang pesara.
Bagaimanapun, saingan sengit dijangka berlaku untuk kerusi Parlimen Sri Aman dengan kehadiran Datuk Masir Kujat (Bebas) yang berusaha mempertahankan kerusi itu untuk penggal keempat.
Namun, Doris Sophia selaku Ketua Wanita Parti Rakyat Sarawak (PRS), bukan calang-calang orang dan sebelum ini mencatat sejarah sebagai wanita pertama di Malaysia menyandang jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara.
Doris adalah calon muka baharu GPS dan turut menerima saingan calon Parti Sarawak Bersatu (PSB), Wilson Entabang dan Tay Wei Wei (PH-PKR).
Namun sebagai pemimpin ‘grass root’ dan dengan bantuan jentera kempen GPS, Doris Sophia boleh membuat kejutan pada 19 November nanti.