

KERJA pemasangan kanvas sedang giat dijalankan di kawasan terjejas bagi mengelakkan hakisan berterusan serta mengurangkan risiko runtuhan. Foto UKAS
BINTULU: Laluan merentas hutan (jungle trekking) di Taman Tumbina, Bintulu ditutup sementara berikutan kejadian pergerakan tanah di beberapa bahagian laluan akibat hujan lebat berterusan sejak minggu lalu.
Menurut kenyataan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), penutupan ini dilaksanakan sebagai langkah keselamatan bagi mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini berlaku.
Kerja-kerja pemasangan kanvas sedang giat dijalankan di kawasan terjejas bagi mengelakkan hakisan berterusan serta mengurangkan risiko runtuhan.
“Setakat ini, tiada kecederaan dilaporkan. Namun, langkah pencegahan awal telah diambil dengan menutup laluan dan memasang papan tanda amaran demi keselamatan pengunjung,” menurut kenyataan tersebut.
Orang awam turut dinasihatkan agar tidak menjalankan sebarang aktiviti rekreasi di kawasan terbabit sepanjang tempoh penutupan, dan diminta untuk mematuhi arahan pihak berkuasa.
Sebarang makluman berkaitan status terkini laluan akan dikemas kini dari semasa ke semasa melalui saluran rasmi Tumbina Bintulu.
BDA turut merakamkan penghargaan kepada orang ramai atas kerjasama dalam memastikan keselamatan pengunjung sentiasa terjaga. – UKAS