SEORANG rakan ketika diajak untuk makan tengah hari di Kota Samarahan, berpesan supaya jangan memberi notis singkat. Alasannya secara sinis ialah perjalanan dari Kuching ke Samarahan kini adalah sama seperti perjalanan dari Kuching ke Sri Aman yang memakan masa tiga jam. “Kalau mahu makan tengah hari, saya kena bertolak dari pagi lagi,” katanya selamba.
Kelmarin, iaitu hari pertama sekolah dibuka untuk 2023 dilaporkan jalan sesak teruk di laluan Kuching-Samarahan, apatah lagi waktu hujan pada sebelah petang. Ada yang mendakwa hingga empat jam baru sampai bandar raya Kuching dari Institut Pendidikan Guru (IPG) di Jalan Dato Mohd. Musa, Kota Samarahan.
“Teruk sangat… bayangkan dari IPG ke IJN (Institut Jantung Negara) biasanya mengambil masa kurang 10 minit, tapi malam tadi (kelmarin) mengambil masa lebih sejam,” keluh seorang rakan.
Kemudian apabila membaca komen nitizens dalam media sosial, rata-ratanya turut meluahkan perkara sama. “Kalau bukan jem (jalan sesak) bukan Jln Kuching-Samarahan namanya. Ia dah sinonim,” kata seorang nitizen.
Seorang lagi menyatakan bahawa dia dari Everwin dalam perjalanan balik ke BDC, tiga jam perjalanan baru sampai Jambatan Kuap. Namun, ada juga nitizens menyarankan guna laluan jauh bagi mengelak jalan sesak iaitu dari Bulatan Intan, tembus ke Batu 15 dan seterusnya ke Batu 7, untuk ke Kuching.
“Xda choice, mok elak jem pake jak bt15. Biar pusing jauh janji clear. Masa lekat di jem sama jak masa pake jalan jauh,” kata seorang lagi.
Perlu jalan tiga lorong
Seorang nitizen pula memberi cadangan berbunyi: “Samarahan polah tiga lane baruk nya..Kereta dah murah..Penduduk makin ramai..Teringat zaman 2008 dolok masa belaja di uitm..Pake moto sik berhelmet pegi tabuan.Sunyik sepi jeraya.. kiri kanan lagik utan.”
Malah, dalam Tik Tok malam kelmarin, dimuat naik video dengan tajuk ‘3 jam stuck jem dekat Samarahan, pkul 2 kluar Unimas now dah pkul 5, jem pecah palak’
Keluhan dan kesengsaraan melalui lebuh raya Kuching-Samarahan terutama kesesakan teruk pada waktu puncak bukan perkara baharu. Semua orang dah tahu, dah maklum, dah mendengar keluhan itu… daripada pemimpin atasan hingga budak sekolah rendah. Dah ramai yang merasainya.
Malah, pihak berwajib termasuk agensi kerajaan yang terbabit, tahu akan masalah itu. Maka pelbagai usaha dilakukan termasuk menukar bulatan kepada persimpangan lampu isyarat, yang dijangka siap seawal November tahun ini.
Namun, apakah jaminan masalah kesesakan boleh diatasi apabila bulatan ditukar kepada persimpangan lampu isyarat?
Bagi mereka yang biasa memandu di Kuala Lumpur, rasanya kesesakan di lebuh raya Kuching-Samarahan, mungkin lebih teruk kerana ketiadaan ‘escape route’ (laluan keluar). Di ibu negara, jalan memang sentiasa sesak lebih-lebih lagi pada waktu puncak tetapi banyak laluan keluar, untuk sekurang-sekurangnya mengelak laluan sesak, bagi yang tahu selok-belok jalan di Kuala Lumpur.
Sebaliknya, tiada atau kurangnya laluan keluar apabila memandu dari Kuching ke Samarahan atau sebaliknya. Sekurang-kurangnya ada beberapa laluan di pertengahan jalan yang menembusi kawasan perumahan sebagai jalan alternatif atau jalan pintas. Tidak mengapa kalau jauh sedikit asalkan boleh mengelak laluan utama Kuching-Samarahan.
Tiada pilihan keluar
Ketiadaan laluan keluar itu menyebabkan semua kenderaan tertumpu di laluan sama, sekali gus menyebabkan jalan sesak. Mungkin pihak berkuasa ada rancangan jangka panjang untuk terus menangani masalah kesesakan ini.
Hakikat yang perlu kita terima ialah pertambahan jumlah kereta saban tahun dan pembangunan pesat Samarahan yang menjadi pusat ilmu dengan terdirinya Unimas, Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan IPG. Bayangkan ribuan pelajar dan pensyarah di situ, situasi jauh berbeza sebelum Univerisiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dibuka pada 1992 sebagai universiti pertama beroperasi di Kota Samarahan.
Pada 2018 pula, Samarahan menjadi tumpuan orang ramai dari Kuching yang mahu balik kampung di kawasan perkampungan pesisiran sepanjang Batang Lupar hingga Batang Rejang apabila siap jambatan Samarahan di Kota Samarahan. Inilah jambatan pertama dilalui terutama mereka yang mahu ke Sibu dari Kuching menggunakan jalan pesisir dan begitu juga sebaliknya.
Semua ini menyumbang kepada kesibukan Lebuh raya Kuching-Samarahan.
Samarahan akan terus membangun sebagai pusat pendidikan dan perubatan. IJN dan Institut Penyelidikan Gambut Tropika Sarawak (TROPI) sudah pun ada di Samarahan, manakala Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak (SIDC) dan Pusat Kanser juga akan diwujudkan di situ nanti. Ini bermakna, dalam tempoh enam tahun lagi, pelbagai kemudahan dan institusi penting berkaitan penjagaan kesihatan bakal wujud di Kota Samarahan.
Dengan itu, perancangan jangka panjang untuk melebarkan lebuh raya Kuching-Samarahan atau mencari laluan alternatif lain perlu dilakukan. Usaha bersepadu penting dalam usaha untuk menyuraikan masalah kekesakan lalu lintas.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sebelum ini pernah menyatakan bahawa, pemasangan lampu isyarat pintar dan projek pelebaran jalan sebagai langkah mengurangkan kesesakan jalan raya di Samarahan hanya langkah sementara.
“Sebab itu kita merancang untuk membina jalan lencongan bagi menyuraikan kenderaan yang boleh membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di sepanjang jalan utama.
“Selain jalan biasa, pembinaan jalan lain sedang dilaksanakan untuk menghubungkan Tanjung Bako ke Jambatan Sejingkat yang baharu dan terus ke Petra Jaya,” katanya ketika berucap merasmikan sambutan ulang tahun ke-25 Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) November lalu.
Ini juga bermakna, Kerajaan Negeri sudah ada perancangan jangka panjang dan menyedari sepenuhnya situasi kesesakan di lebuh raya Kuching-Selatan.
Apa pun, biar kita tengok keadaan lalu lintas setelah siapnya projek menukar bulatan kepada persimpangan lampu isyarat, yang dijangka siap seawal November tahun ini jika tiada karenah kontraktor.
* Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak