BEKENU: Hujan lebat berterusan telah menyebabkan laluan keluar masuk ke tiga rumah panjang dan ladang sawit Sungai Klad terputus selepas jalan utama dinaiki air pagi ini.
Antara rumah panjang yang terjejas adalah Rumah Lingu (Pakut), Rumah Nyuai dan Rumah Panjang Sungai Merah.
Keadaan ini menyukarkan penduduk untuk menjalankan tugas harian kerana kenderaan kecil tidak dapat melalui jalan utama ke Lebuh Raya Pan Borneo setakat pagi ini.
Utusan Sarawak dimaklumkan oleh penduduk rumah panjang bahawa jalan becak dan tidak dapat membawa keluar hasil sawit ke kilang-kilang.
Keadaan hujan masih berterusan dan didapati air semakin naik di Rh Lingu Pakut.
Selain itu, turut dimaklumkan bahawa jalan utama Rumah Renang Penyirak di Jalan Persisiran Pantai Bekenu-Niah telah dinaiki air dan menyukarkan perjalanan mereka ke pekan Bekenu.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah, PBT II Rary Binjie ketika dihubungi berkata beliau menerima maklumat banjir kilat di kawasan jalan rumah panjang terbabit.
“Buat masa ini, kami masih berada di satu lokasi dalam operasi membersih jalan dan kawasan akibat tiga pokok tumbang.
“Anggota kami masih berusaha melakukan kerja pembersihan demi keselamatan orang ramai,” jelasnya di lokasi kejadian di Kampung Kejapil.
Sehubungan itu, penduduk yang terkesan akibat banjir kilat dan pokok tumbang dinasihatkan sentiasa berwaspada ketika melalui kawasan tersebut.
Oleh Adum Liu