KERAJAAN pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Yaakob perlu melaksanakan dasar yang mampu memenuhi tuntutan rakyat dan pembangkang dengan strategi yang lebih inklusif.
Pentadbiran beliau perlu melangkaui tuntutan mereka dengan memberi impak besar, meskipun mungkin berada dalam tempoh pentadbiran paling singkat dalam sejarah negara. Sehubungan itu, perkara pertama yang perlu dilakukan adalah pelantikan kabinet yang lebih kecil, iaitu ahli-ahli kabinet yang dilantik bukan kerana terhutang budi setelah menerima sokongan.
Sebenarnya cita rasa, wajah dan hala tuju Ismail Sabri hanya dapat ditafsirkan apabila kita melihat bagaimana rupa bentuk kabinet beliau. Kritikan netizen yang mewakili suara rakyat yang mahukan Kabinet dikecilkan bagi mengelakkan pembaziran. Tambahan pula, dengan situasi ekonomi sukar yang dihadapi rakyat ketika ini.
Maka, terdapat kewajaran dan agak munasabah kabinet baharu ini dikecilkan dengan melantik ahli-ahli yang lebih efisien, lebih berprestasi tinggi, bukan liabiliti dan bukan akan timbulnya kritikan kononnya akan terbentuk nanti imej kabinet terhutang budi kerana sokongan membolehkannya menjadi Perdana Menteri. Sekiranya mengikut pertimbangan ini, terlalu banyak jawatan untuk ditawarkan dan hal ini tidak baik dari segi ketelusan tadbir urus.
Sudah tiba masa wujudnya kabinet yang lebih padat, strategik dan membayangkan realiti situasi negara semasa. Ismail perlu berkhidmat untuk negara dan melangkaui kepentingan individu serta parti. Sikap ungkit-mengungkit, malah merayu-rayu, seolah-olah jawatan kabinet sebagai hadiah atau ganjaran hasil daripada sokongan politik kalangan pemimpin parti dan komponen parti untuk dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri adalah amalan tidak sihat, seolah-olah tidak percayakan kompetensi yang ada pada diri mereka sendiri.
Strategi
Kerajaan pimpinan baharu ini juga perlu melaksanakan strategi yang lebih efisien menangani pandemik Covid-19 agar kes mampu turun sehingga 3,000 menjelang hujung tahun ini, sesuai dengan harapan dan kebimbangan rakyat terhadap ancaman kesihatan. Pemberian suntikan vaksin penuh dijangka selesai sehingga akhir Oktober tahun ini, maka proses ini perlu dilakukan lebih efisien agar sasaran dapat dicapai lebih awal.
Pada masa yang sama, kerajaan baharu perlu melihat lebih menyeluruh isu pandemik covid-19 ini. Dengan kata lain, perlu ada keseimbangan pergantungan antara kepercayaan aliran vaksin penuh, pendekatan kuncitara dan tidak mengabaikan aspek menangani pandemik ini bukan sahaja berdasarkan data sains kesihatan semata-mata. Data daripada kajian ilmu masyarakat juga penting untuk memahami permasalahan yang berlaku di negara ini kerana pandemik adalah salah satu situasi mencabar negara. Tindakan ke atas pelanggaran SOP juga perlu lebih adil agar tidak timbul persepsi kluster kayangan yang mudah terlepas dan lambat diambil tindakan, sedangkan rakyat biasa cepat dikenakan hukuman. Banyak lagi cabaran negara dihadapi kini yang perlu diberikan perhatian sewajarnya.
Menyelamatkan Ekonomi Rakyat
Pimpinan baharu juga perlu jelas menggariskan dasar-dasar pemulihan ekonomi, menarik pelabur asing, menurunkan kadar pengangguran, meningkatkan pertumbuhan ekonomi, menangani isu kos sara hidup yang tinggi dan menangani isu sosial, iaitu memastikan kejadian bunuh diri tidak terus meningkat.
Lebih-lebih lagi dalam konteks masalah ekonomi yang dihadapi rakyat akibat pandemik. Hal ini akibat banyak sektor ekonomi terjejas, terpaksa dikecilkan menyebabkan ramai hilang pekerjaan, pendapatan semakin kurang dan perkara ini perlu diberikan perhatian yang khas. Maka, tuntutan 10 perkara yang dikemukakan oleh UMNO ketika pentadbiran terdahulu, relevan untuk dilaksanakan lebih-lebih lagi Perdana Menteri dari parti UMNO sendiri, maka lebih mudah untuk dilaksanakan. Namun, kerajaan juga perlu sedia mempertimbangkan pelaksanaan yang melangkaui tuntutan tersebut.
Sudah pasti antara petunjuk penting untuk melihat komitmen Perdana Menteri baharu adalah memastikan Belanjawan 2022 yang bakal dibentangkan awal November jauh lebih baik daripada yang pernah dikemukakan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH). Segala kekurangan dan kelebihan kerajaan terdahulu perlulah diambil kira untuk memberikan tawaran yang lebih kepada rakyat dan pelbagai sektor dalam belanjawan tersebut.
Pembaharuan Institusi
Ismail Sabri akan menjadi lebih popular sekiranya membawa pembaharuan institusi. Pembaharuan sudah lama diperjuangkan oleh PH dan pernah dibentangkan di Dewan Rakyat. Namun, ketika pentadbiran Muhyiddin Yassin, isu pengehadan jawatan Perdana Menteri untuk dua penggal ditarik balik, manakala undi 18 dikatakan sukar dilaksanakan. Namun, ketika akhir kejatuhan Muhyiddin, beliau menawarkan pembaharuan ini untuk menarik sokongan PH, akan tetapi ditolak kerana dilihat tidak ikhlas.
Kini merupakan masa terbaik untuk Ismail Sabri melaksanakan dasar atas kepentingan rakyat dan bukan sekadar untuk menjaga hati pembangkang sahaja. Maka, banyak pembaharuan institusi boleh dilaksanakan dalam tempoh 21 bulan ini, termasuklah meletakkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) di bawah kuasa Parlimen untuk mengelak dimanipulasi atau digunakan untuk menekan kepimpinan parti di bawah kepimpinan Zahid Hamidi yang tidak sehaluan, sepertimana berlaku terhadap parti UMNO ketika pemerintahan Muhiyiddin Yassin. Apabila Muhiyiddin hilang kuasa, barulah RoS menyatakan ditekan untuk membuat keputusan yang tidak adil tersebut.
Selain itu, institusi seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu juga diletakkan di bawah Parlimen agar tidak berlakunya campur tangan politik yang akan menyebabkan integriti kerajaan memerintah terjejas.
Begitu juga pemberian peruntukan tahunan yang sama rata kepada wakil rakyat tanpa mengira parti akan mendapat sokongan semua, lebih-lebih lagi rakyat tanpa mengira ideologi parti, etnik dan agama yang sedang menghadapi masalah ekonomi yang mencabar ini. Pembaharuan institusi ini akan menyebabkan beliau dikenang dalam sejarah sebagai benar-benar menjiwai konsep ‘keluarga Malaysia’ tanpa diskriminasi peruntukan.
Beliau juga perlu mempercepat urusan Undi 18 bagi memastikan amalan dan kesuburan demokrasi serta suara anak muda dapat didengar. Jumlah pengundi muda besar dan dijangka terdapat tujuh juta undi anak muda ingin terlibat memberikan suara mereka dalam bentuk undi dan sebagai rakyat Malaysia mereka mahu hak tersebut dilunaskan segera. Undang-undang anti lompat juga perlu disegerakan bagi menstabilkan politik negara secara lebih berkesan dan mengelak sikap oportunis ahli politik yang lebih mengutamakan kedudukan diri daripada parti dan mandat rakyat yang memilih.
Sudah pasti sekiranya kesemua ini dilaksanakan oleh Perdana Menteri baharu, pastinya beliau akan disanjung sebagai Perdana Menteri yang memberikan kesan besar kepada negara dan akan dikenang sebagai bapa pembaharuan negara.
SARANAN KEPADA KERAJAAN
- Lantik ahli kabinet lebih kecil (bukan ahli kabinet terhutang budi).
- Belanjawan 2022 lebih baik dan mampu menyaingi dua kerajaan terdahulu iaitu PH serta PN.
- Laksanakan 10 tuntutan rakyat yang dibawa UMNO dengan lebih baik.
- Lakukan strategi tangani Covid-19, iaitu menyasarkan harapan rakyat yang mahu penurunan kes kepada 3,000 menjelang hujung tahun bukan hanya dengan vaksin dan teori kuncitara.
- Lebih adil (tidak tunduk kepada kluster kayangan).
- Letakkan RoS, SPRM dan SPR di bawah Parlimen.
- Umumkan segera pelaksanaan reformasi, iaitu peruntukan tahunan sama rata tanpa mengira parti; mempercepat urusan Undi 18; mengehadkan jawatan Perdana Menteri hanya untuk dua penggal dan wujudkan undang-undang antilompat parti.
Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).