
SIBU: Pembukaan laluan Kuching-Kuala Lumpur oleh AirBorneo Airways (AirBorneo) disifatkan sebagai satu pencapaian penting dalam usaha syarikat penerbangan milik Sarawak itu memperkukuh kesalinghubungan antara Sarawak dan Semenanjung Malaysia.
Ahli Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS), Kaunselor Henry Kanyan Vincent Rawing berkata, laluan berkenaan bukan sahaja memudahkan pergerakan rakyat, malah memainkan peranan penting dalam memperluas akses ke destinasi domestik dan antarabangsa.
“Sepertimana sedia maklum, Kuala Lumpur adalah pintu masuk strategik yang membuka akses kepada rangkaian destinasi domestik dan antarabangsa yang lebih luas, sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang dalam sektor pelancongan, perdagangan, pelaburan dan perniagaan.
“Kami sebagai rakyat Sarawak amat berbangga dengan AirBorneo. Penubuhan syarikat penerbangan milik negeri ini membuktikan komitmen kerajaan Sarawak dalam menyediakan pilihan pengangkutan udara yang lebih baik serta memberi manfaat kepada rakyat,” katanya kepada Utusan Sarawak, hari ini.
Beliau berkata, pengenalan tambang promosi ‘Sarawakku Sayang’ turut mencerminkan usaha AirBorneo menjadikan perjalanan udara lebih mampu milik, khususnya kepada rakyat Sarawak yang kerap berulang-alik ke Semenanjung Malaysia atas urusan pekerjaan, pendidikan, perniagaan dan keluarga.
Menurutnya, pembukaan laluan itu dijangka memberi impak positif kepada industri pelancongan dan ekonomi negeri melalui peningkatan jumlah pelancong, aktiviti perdagangan serta peluang pelaburan.
Henry berharap AirBorneo akan terus memperluaskan rangkaian penerbangannya ke lebih banyak destinasi domestik dan antarabangsa, termasuk meningkatkan perkhidmatan ke bandar utama di Sarawak seperti Sibu, Miri dan Bintulu.
“Semoga AirBorneo terus berkembang sebagai syarikat penerbangan yang selamat, boleh dipercayai dan berdaya saing, sekali gus menjadi kebanggaan seluruh rakyat Sarawak,” katanya.
AirBorneo Airways hari ini membuka jualan tiket bagi laluan baharu Kuching-Kuala Lumpur dengan tambang promosi ‘Sarawakku Sayang’ bermula RM375 sehala bagi Kelas Ekonomi.
Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif AirBorneo, Megat Ardian Aminuddin berkata, perkhidmatan baharu ini akan beroperasi dua kali sehari antara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1, sekali gus mengukuhkan peranan Kuching sebagai pintu masuk strategik selain menawarkan kemudahan dan kesalinghubungan lebih baik kepada pelancong serta pengembara perniagaan.
Katanya, bagi meraikan pelancaran ini, AirBorneo memperkenalkan tambang ‘Sarawakku Sayang’ bermula RM375 termasuk semua caj untuk tiket sehala Kelas Ekonomi dan dari RM736 termasuk semua caj untuk tiket sehala Kelas Perniagaan, merangkumi cukai lapangan terbang serta surcaj bahan api.
Tempahan dibuka pada 7 Julai 2026, 7.00 pagi (GMT+8), dengan penerbangan bermula 20 Julai 2026. Tiket hanya boleh didapati secara eksklusif melalui laman web rasmi AirBorneo di www.airborneo.com dan aplikasi mudah alih AirBorneo.
“Dengan menawarkan tiket secara eksklusif melalui saluran tempahan rasmi, AirBorneo memastikan pelanggan menikmati tambang terendah yang disahkan, harga telus, transaksi selamat, sokongan pelanggan secara langsung serta kemas kini tempahan masa nyata.
“Pembukaan jualan tiket bagi laluan Kuala Lumpur ini merupakan satu pencapaian penting dalam perjalanan pertumbuhan AirBorneo ketika kami terus memperkukuh kesalinghubungan Sarawak dengan seluruh Malaysia dan seterusnya,” ujarnya menerusi kenyataan.
Oleh Akun Giman