Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUM
  • Lakonan pesawat tempur di udara, tidak gambarkan realiti
  • KOLUM

Lakonan pesawat tempur di udara, tidak gambarkan realiti

Utusan Sarawak 6 months ago
SEDUTAN babak filem Top Gun: Maverick.

DALAM setiap filem aksi yang melibatkan pesawat terbang, adakalanya adegan yang dipa­parkan sangat luar biasa dan mengujakan hingga kita rasa kagum akan kehebatan pelakon yang mengendalikan pesawat terbang.

Selain itu, pesawat ter­bang sering dijadikan sebagai latar cerita yang mampu mence­tuskan suasana dramatik dan suspens, menambahkan lagi keseronokan kita menonton sehingga habis.

Babak-babak seperti aksi melarikan diri daripada misil, mendarat dalam keadaan mustahil atau pertempuran udara dapat mencipta momen yang mendebarkan, menjadikan pesa­wat elemen penting dalam naratif filem aksi.

Namun, kita mungkin tidak sedar bahawa setiap babak yang ditonjolkan itu merupakan fantasi kreatif dihasilkan untuk menjadikan filem lebih menarik dan dramatik.

Hakikatnya, jika perkara yang sama dilakukan di dunia sebenar, kesannya mung­kin sangat berbeza kerana ada situasi tidak realistik dari sudut teknikal atau fizikal.

Sebagai contoh, dalam filem seperti Top Gun: Maverick, pesawat tempur digambarkan mampu mengelak misil dalam jarak dekat sambil melakukan olah gerak ekstrem untuk melarikan diri daripada musuh.

Babak itu memang mendebarkan tetapi realitinya, olah gerak seperti itu memerlu­kan kecekapan juruterbang yang sangat tinggi dan tidak semudah seperti digambarkan.

Pesawat tempur sememangnya direka untuk melakukan gerakan akrobatik seperti putaran penuh (barrel roll) atau pusingan tajam (sharp turn), tetapi setiap olah gerak bergantung kepada had teknikal pesawat dan teka­nan graviti (G-force) yang boleh ditanggung oleh juruterbang.

Dalam dunia sebenar, pesawat mengelak misil dengan menggu­nakan teknik elektronik seperti pelepasan bahan bersuhu tinggi (flare), bukannya bergantung semata-mata kepada gerakan fizikal yang terlalu ekstrem. Lebih penting lagi, juruterbang ialah manusia mempunyai batas daya tahan terhadap tekanan graviti yang terhasil oleh olah gerak pesawat yang laju.

Aksi seperti dalam filem Top Gun yang menghasilkan tekanan graviti lebih dari 9G, mampu menyebabkan juruterbang kehilangan kesedaran akibat teka­nan darah rendah ke otak.

Sebarang kesilapan kecil dalam pergerakan boleh memba­wa kepada kehilangan kawalan atau kerosakan struktur pesawat.

Selain itu, filem aksi juga ser­ing kali menggambarkan pesawat dengan teknologi canggih yang mendahului zaman. Contohnya, dalam Top Gun: Maverick, pesawat jet digambarkan mampu mencapai kelajuan hipersonik, iaitu lebih daripada lima kali kela­juan bunyi.

Dalam dunia sebenar, teknologi hipersonik sedang dibangunkan oleh agensi seperti Pentadbiran Aeronautik dan Ang­kasa Lepas Kebangsaan (NASA) dan Agensi Projek Penyelidikan Senjata Pertahanan (DARPA), tetapi penggunaannya sangat ter­had kerana cabaran besar seperti kestabilan pada kelajuan tinggi, pengurusan haba akibat geseran udara dan kecekapan bahan api.

Pada kelajuan hipersonik, geseran udara menghasilkan haba yang cukup tinggi untuk mencairkan logam biasa. Maka disebabkan itu, pesawat perlu dibina daripada bahan khas seperti karbon komposit.

Olah gerak pada kelajuan itu hampir mustahil tanpa risiko kehilangan kawalan kerana aerodinamik pesawat berubah dengan ketara pada kelajuan tersebut.

Tambahan pula, kelajuan tinggi itu memer­lukan bahan api dalam kuantiti yang sangat besar menjadikan­nya tidak praktikal untuk peng­gunaan biasa. Filem-filem aksi juga sering memaparkan adegan penerbangan yang menentang bencana alam seperti ribut angin pusar atau ‘tornado’.

Dalam filem Twister contohnya, pesawat dilihat berjaya menerobos ribut tanpa mengalami kerosakan seri­us. Namun, hakikatnya, ‘tornado’ boleh mencetuskan gelora udara yang cukup kuat untuk merosak­kan struktur pesawat dan menye­babkan juruterbang kehilangan kawalan.

Dalam dunia sebenar, juru­terbang dilatih untuk mengelak kawasan ribut berdasarkan data radar pesawat dan panduan dari menara kawalan.

Hanya jika terpaksa, barulah juruterbang membawa pesawat melalui ribut, namun ia adalah langkah terakhir yang sangat berisiko dan hanya dilakukan apabila tiada pilihan lain.

Ribut juga boleh menghasil­kan fenomena seperti ‘micro­burst’, iaitu tiupan angin kuat yang turun secara mendadak dari awan ribut dan menyebar ke semua arah apabila mencapai permukaan tanah.

Fenomena itu boleh mencetuskan kehilangan daya angkat secara tiba-tiba dan boleh menjadikan pesawat sukar untuk mengekalkan kestabilan.

Hal ini amat berbahaya sema­sa pendaratan atau pelepasan kerana pesawat berada pada kelajuan rendah dan lebih terdedah kepada kehilangan daya angkat.

Begitu juga, adegan pesawat terhempas yang meletup serta-merta dengan api besar seperti dalam filem Con Air. Letupan mendadak sebegini jarang berla­ku dalam realiti.

Pesawat moden direka untuk mengurangkan risiko letupan dengan memasang bahan binaan seperti aluminium dan komposit yang tidak mudah terbakar serta tangki bahan api yang direka untuk tahan hen­takan.

Selain itu, bahan api jet seperti Jet A1 tidak mudah meletup kecuali ia bercampur dengan udara dalam nisbah tertentu dan terkena sumber pencucuhan seperti percikan api.

Dalam kebanyakan insiden penerbangan sebenar, letupan besar tidak berlaku serta-merta selepas pesawat terhempas.

Adegan dramatik lain yang sering kali dipaparkan ialah pintu pesawat yang dibuka semasa penerbangan seperti dalam The Dark Knight Rises. Filem itu menggambarkan pintu kargo dibuka dengan mudah untuk membuang muatan di tengah udara.

Dalam realiti, tekanan dalam kabin pada altitud tinggi jauh lebih tinggi daripada tekanan luar, menyebabkan pintu terkunci rapat dan hampir mustahil untuk dibuka.

Namun, sekiranya pintu berjaya dibuka, pesawat akan kehilangan tekanan kabin secara mendadak boleh menyebabkan kekurangan oksigen, suhu yang sangat rendah dan risiko kecederaan serius kepada penumpang.

Bagi mengelakkan kejadian seperti itu berlaku, jurutera pesa­wat mereka pintu yang hanya boleh dibuka apabila pesawat berada pada altitud rendah atau berhenti sepenuhnya di darat.

Sebagai penonton, kita boleh terus menikmati keseronokan dan keterujaan menonton filem aksi kerana tanpa imaginasi pengarah filem, cerita akan mem­bosankan.

Hanya kita perlu ketahui, walaupun dunia penerbangan sebenar kurang drama­tik, ia tetap menakjubkan kerana keupayaannya mem­bawa manusia ke langit dengan selamat dan efisien.

Keajaiban sebenar penerbangan moden terletak pada sains, teknologi dan usaha manusia yang tanpa henti untuk mencapai yang mustahil dengan cara yang bertanggungjawab dan selamat.

  • Penulis memiliki Sarjana Muda Kejuruteraan (Mekanikal-Aeronautik) di Universiti Teknologi Malaysia dan pernah berkhidmat di Hornbill Skyways Sdn Bhd.
Tags: Mohamad Fadillah Sabali

Continue Reading

Previous: Hasil 11 negeri masih tidak dapat saingi Sarawak
Next: Keadaan kemudahan kesihatan Sarawak selepas perang

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.